PAPAR, 28 April (Bernama) -- Usaha menjadikan Papar sebagai hab pelancongan baharu bagi negeri Sabah berjalan lancar, kata Ahli Parlimen Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata banyak pembangunan baharu sedang dilaksanakan untuk merancakkan sektor pelancongan di daerah berkenaan, seperti projek pembinaan dua hotel bertaraf lima bintang di Melinsung dan Kinarut.
“Pembinaan hotel itu sudah semestinya merancakkan lagi sektor pelancongan di Papar, selain merangsang pertumbuhan ekonomi di daerah ini.
“Namun kita kena pastikan apa tarikan yang ada di sini? Apa produk yang kita boleh jadikan sebagai tarikan agar pelancong datang menginap di hotel berkenaan?” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas, Parklane City Benoni Papar di sini hari ini.
Armizan berkata banyak perkara perlu dilakukan bagi menjadikan Papar sebagai hab pelancongan termasuk pembangunan industri hospitaliti, selain menyelesaikan masalah lain.
“Kita akan pastikan masalah yang berlarutan seperti masalah air, bekalan elektrik dan jalan raya dapat diselesaikan untuk memastikan pelancong selesa di Papar,” katanya.
Terdahulu, Armizan ketika mengulas mengenai majlis itu berkata Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas dapat memberikan manfaat kepada rakyat Papar.
“Ballroom ini boleh digunakan untuk pelbagai acara seperti seminar dan perkahwinan. Kita tidak perlu lagi ke Kota Kinabalu untuk menganjurkan program, kerana kita sudah ada tempat yang baik dan selesa di sini,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial