KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) memeterai kerjasama strategik dengan penyedia hospitaliti Arab Saudi, Maysan International Group bagi meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan profesionalisme perkhidmatan umrah negara.
Presiden Bumitra Malaysia Dr Wan Mohamad Adam Wan Norudin berkata kerjasama itu bertujuan memulihkan kredibiliti industri umrah tempatan dan menandakan era baharu berasaskan kepercayaan, pematuhan serta nilai jangka panjang untuk jemaah.
“Kerjasama selama setahun bagi musim 1447H ini merupakan langkah transformatif yang merapatkan jurang antara pengendali umrah Malaysia dan penyedia hospitaliti bertaraf antarabangsa di Makkah serta Madinah.
“Melalui memorandum persefahaman (MoU) ini, 540 ahli berlesen Bumitra akan menikmati akses eksklusif ke rangkaian hotel Maysan menerusi sistem tempahan digital milik mereka.
“Ahli-ahli Bumitra bukan sahaja memperoleh akses kepada penginapan malah turut dijamin mutu perkhidmatan dan keselarasan nilai yang dikongsi bersama,” katanya pada majlis menandatangani MoU dan pelancaran penginapan Maysan International Group di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani Wan Mohamad Adam mewakili Bumitra dan Presiden Maysan International Group Ashraf Fouad.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad Adam berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar usaha komersial, sebaliknya misi bersama untuk menaik taraf perkhidmatan jemaah umrah, bermula daripada tempahan awal hingga penginapan dan layanan di Tanah Suci.
Beliau berkata kerjasama strategik itu juga dijangka membina semula keyakinan terhadap agensi bumiputera yang mengendalikan haji dan umrah susulan beberapa kes penipuan tempahan penginapan sebelum ini.
“Menerusi MoU ini, Bumitra ingin membina keyakinan baharu bahawa agensi bumiputera kini mempunyai pilihan terbaik untuk membuat tempahan hotel menerusi Maysan International yang juga mempunyai pejabat di Malaysia.
“Kita lihat setakat ini tidak ada aduan mengenai Maysan dan rekod mereka juga baik,” katanya.
Beliau berkata Maysan menawarkan lebih 4,000 bilik pelbagai kategori yang membolehkan agensi menetapkan harga pakej umrah lebih kompetitif.
“Ini memberi ruang untuk menurunkan harga pakej umrah,” katanya yang menambah kerjasama itu juga membantu agensi kecil membuat tempahan hotel termasuk pada saat-saat akhir, tanpa bimbang ditipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial