EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PELAWA PERNIAGAAN MALDIVES TEROKA PELUANG SEKTOR HALAL – TENGKU ZAFRUL

28/04/2025 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia mempelawa perniagaan Maldives untuk meneroka sektor halalnya yang dinamik terutama dalam pelancongan halal, memanfaatkan kedudukan negara sebagai hab halal global untuk merangsang kerjasama dalam bidang ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata terdapat potensi besar untuk menjalin kerjasama dalam bidang seperti pensijilan halal dan eksport barangan dan perkhidmatan halal, termasuk kewangan Islam, farmaseutikal dan pengeluaran makanan.

“Memandangkan status Maldives sebagai negara majoriti Muslim dan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal, Pelan Induk Industri Halal 2030 kami yang menetapkan visi jelas, kami yakin Maldives boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikannya di peringkat serantau.

"Kita telahpun menyaksikan kehadiran positif syarikat Malaysia seperti Secret Recipe, The Manhattan Fish Market, dan Ramsay Sime Darby Healthcare di Maldives.

“Justeru, saya menggalakkan lebih banyak perniagaan Malaysia untuk merebut momentum ini dan memanfaatkan persekitaran mesra pelabur di Maldives," katanya pada Forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir pada forum tersebut ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu.

Selain itu, Tengku Zafrul turut menjemput semua peserta pada forum perniagaan hari ini untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan berlangsung dari 17-20 Sept 2025 di Kuala Lumpur.

“Acara ini menyediakan peluang besar kepada pemimpin industri dan kerajaan untuk bekerjasama dan memaksimumkan potensi ekonomi halal global,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pada 2024, Maldives disenaraikan sebagai rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan.

"Jumlah perdagangan dua hala kita tahun lepas berjumlah RM862.7 juta, menandakan peningkatan 4.3 peratus daripada tahun sebelumnya. Pertumbuhan yang stabil ini menyokong asas hubungan ekonomi dan peningkatan keyakinan dalam komuniti perniagaan terhadap potensi kerjasama kita," katanya. 

Terdahulu hari ini, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan dua pertukaran nota (EoN) merentas pelbagai sektor yang bertujuan meningkatkan kerjasama saling memberi manfaat.

Hari ini merupakan hari kedua lawatan rasmi selama empat hari Presiden Maldives ke Malaysia, yang pertama sejak memegang jawatan pada November 2023 atas jemputan Anwar.

Lawatan itu dijangka memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, belia dan sukan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan