AM > BERITA

Sektor Pertanian Perlu Diperkasa Elemen Automasi, Pendigitalan

28/04/2025 06:26 PM

KANGAR, 28 April (Bernama) -- Sektor pertanian perlu diperkasakan dengan elemen automasi dan pendigitalan dalam usaha melahirkan usahawan tani muda berkemahiran tinggi sekali gus berkeupayaan mendepani cabaran keterjaminan makanan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Sutekno Ahmad Belon berkata untuk itu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar antara lain memfokuskan pembangunan teknologi automasi pertanian dengan kini dalam fasa akhir ujian mesin automasi pertanian yang dikawal sistem sepenuhnya.

"Beberapa demonstrasi mesin berautonomi untuk kerja-kerja membajak dan sebagainya telah diperlihatkan hari ini dan kita lihat perkembangan ini menunjukkan kemajuan ketara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Perak ILP Kangar di sini hari ini.

Pada majlis perasmian yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad itu, Sutekno turut melancarkan Pusat Pertanian Pintar ILP Kangar serta menyaksikan pemeteraian nota kerjasama antara ILP dengan lima syarikat tempatan dalam bidang teknologi pertanian.

Sutekno berkata teknologi automasi itu merupakan hasil jaringan kerjasama antara ILP Kangar dengan syarikat pengeluar jentera pertanian dan dijangka dipasarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata pengenalan teknologi automasi itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan produktiviti sektor pertanian malah dijangka dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

Sementara itu, Sutekno menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengambil peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di ILP Kangar yang kini menawarkan program Premier Automasi Pertanian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan