AM > BERITA

Kementerian Digital Terus Sokong Inisiatif Pendigitalan Di Kuil Hindu Seluruh Negara

26/04/2025 10:59 PM

BUTTERWORTH, 26 April (Bernama) -- Kementerian Digital akan terus membantu dan menyokong inisiatif pendigitalan di kuil-kuil Hindu seluruh negara, dalam usaha memudahkan pengurusan tempat ibadah itu serta hebahan aktiviti kepada penganutnya.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ia satu komitmen kerajaan dalam memastikan teknologi digital sampai ke akar umbi masyarakat, termasuk dalam konteks keagamaan dan warisan budaya supaya tiada yang ketinggalan dalam arus perdana digital.

“Malam ini kita menyaksikan satu lagi langkah maju Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP), dengan pelancaran sistem pendigitalan dan kiosk, ini membawa pengurusan kuil ke satu tahap yang lebih moden dan sistematik.

“Menerusi sistem itu, penganut dan pengunjung kuil boleh membuat sumbangan, menyemak jadual upacara atau mendaftar untuk upacara keagamaan dengan mudah dan pantas, sama ada dari rumah atau melalui kiosk di kuil. Bayangkan kemudahan yang dirasai masa dapat dijimatkan, proses lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pendigitalan Sistem Pengurusan Kuil Sree Maha Mariamman dan kuil-kuil LWHNPP di sini, malam ini. Turut hadir Pengerusi LWHNPP RSN Rayer.

Pada majlis itu, Gobind turut meluluskan peruntukan RM20,000 kepada Kuil Sree Maha Mariamman.

Beliau berkata pendigitalan di kuil Hindu akan dapat meningkatkan ketelusan dan kecekapan pengurusan, sekali gus memastikan kuil bukan sahaja menjadi tempat ibadat yang suci, tetapi juga pusat komuniti yang terurus dan diyakini semua.

“Kepercayaan umat penting dan sistem ini membantu mengukuhkannya. Saya ingin menegaskan dengan pendigitalan, tidak bermaksud kita meninggalkan tradisi dan nilai murni. Sebaliknya, kita menguatkan tradisi dengan menggunakan alat-alat baharu yang relevan dengan zaman ini.

“Ia penting bagaimana kita mengadaptasi kemajuan teknologi untuk memperkaya dan memelihara warisan budaya kita, serta selaras dengan konsep Malaysia MADANI iaitu nilai dan kemajuan bergerak seiring. Kerajaan MADANI sentiasa bersama rakyat dalam apa jua usaha yang membawa kebaikan jangka panjang,” katanya.

Justeru, Gobind berharap kuil Hindu di seluruh negara dapat turut serta dalam menggunakan sistem pendigitalan di rumah ibadat mereka, kerana ia bukan sahaja memudahkan malah menjimatkan masa serta kos penganutnya, kerana segala persiapan berkaitan pengurusan dan aktiviti boleh dibuat daripada luar kuil.

“Kita juga akan mewujudkan satu pangkalan data berkaitan dengan jenis-jenis acara yang dijalankan dan sekiranya ada masalah yang kita lihat dalam proses itu, kita dapat menyesuaikan masalah tersebut dan bergerak ke depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan