POLITIK > BERITA

PEMILIHAN PKR: KEMUKA ADUAN MELALUI SALURAN RASMI - DR ZALIHA

28/04/2025 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Semua anggota parti sekali lagi dinasihatkan supaya membuat aduan berkaitan salah laku dalam Pemilihan PKR 2025 hanya melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata aduan yang kemukakan akan diteliti oleh Jawatankuasa Bantahan dan Aduan JPP 2025.

“Hanya dengan cara itu kita boleh ambil tindakan sepatutnya, kalau tidak ada aduan atau bantahan rasmi kita tidak boleh teliti sebab setiap bantahan dan aduan kena kemuka dengan bukti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Semarak Aidilfitiri Bersama Rakan Media 2025 di sini malam ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai calon yang menggunakan media sosial untuk meluahkan ketidakpuasaan hati mereka terhadap keputusan.

Pada 26 Jan lepas, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan dari 11 hingga 20 April.

Sementara itu, pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) bagi sesi 2025-2028 akan diadakan pada 24 Mei depan. 

Sementara itu, mengulas mengenai status terkini kerja-kerja pembinaan projek pembangunan bercampur J. Satine di Wangsa Maju, Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal mengadakan libat urus dengan syarikat pemaju dan pembeli.

Baru-baru ini, DBKL dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembangunan bercampur projek J. Satine yang sebelum ini diberhentikan berikutan insiden keretakan pada Blok C, diteruskan bagi blok SOHO serta Blok A dan B.

Keputusan itu dibuat hasil Laporan Kemajuan Perunding Bebas bertarikh 24 Feb lepas yang disediakan oleh jurutera profesional bertauliah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan