AM > BERITA

Akta Perkongsian Data 2025 Berkuat Kuasa, Tingkat Perkhidmatan Kerajaan, Lindungi Data Peribadi

28/04/2025 06:08 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Malaysia melakar detik bersejarah hari ini apabila Akta Perkongsian Data 2025 berkuat kuasa secara rasmi, sekali gus menyediakan kerangka undang-undang dan berstruktur bagi perkongsian data yang selamat dan efisien antara kementerian serta agensi kerajaan Persekutuan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini berkata akta itu mewujudkan proses permohonan data oleh agensi kerajaan Persekutuan, termasuk kaedah permohonannya diproses.

"Jawatankuasa Perkongsian Data Negara akan melaksanakan penilaian ketat terhadap setiap permohonan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam akta ini bagi menentukan sama ada data yang dimohon boleh dikongsi atau tidak. Langkah ini meningkatkan kebertanggungjawaban sambil memastikan data peribadi kekal terpelihara.

"Akta baharu ini dijangka dapat mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam dengan membolehkan jabatan kerajaan mengakses data secara masa nyata, sekali gus mempercepat proses membuat keputusan dan menyelaras perkhidmatan awam dengan lebih berkesan," katanya.

Gobind berkata perkongsian dan analisis data amat penting bagi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam membangunkan aplikasi untuk pelbagai sektor seperti kesihatan, pertanian dan perancangan bandar, sekali gus menghasilkan penyelesaian yang inovatif dan realistik.

Beliau berkata pelaksanaan akta ini bersama penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) akan mempercepatkan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina negara berasaskan teknologi AI.

“Akta Perkongsian Data 2025 juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih berhubung dan berpaksikan data, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat, melindungi kebajikan mereka serta merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau turut menggesa semua kerajaan negeri supaya memperkenalkan undang-undang serupa bagi membolehkan perkongsian data antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang akan memberi manfaat kepada negara secara menyeluruh.

“Kami juga sedang berunding dengan pemain industri bagi mencari mekanisme yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan dan sektor industri dalam masa terdekat.

“Langkah ini akan memperluas penggunaan teknologi, memperkukuh tadbir urus berasaskan data serta mendorong penyelesaian teknologi masa depan yang dapat mengoptimumkan manfaat teknologi untuk rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan