AM > BERITA

Dua Varieti Benih Kenaf Baharu Dilancar, Tawar Daya Saing Lebih Tinggi

28/04/2025 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), telah melancarkan dua varieti benih kenaf baharu iaitu MK1 dan MK2, yang menawarkan potensi hasil lebih tinggi dan daya saing lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan varieti baharu itu, merupakan hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi penyinaran gama, dengan benih MK1 dihasilkan melalui penyinaran gama pada dos 300 Gray (Gy) dan MK2 pada dos 800 Gy.

Kaedah mutasi teraruh itu digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf, agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi.

“MK1 dan MK2 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara berbanding varieti induk V36 yang telah digunakan melebihi 15 tahun di Malaysia. Berdasarkan kajian di plot tanaman LKTN di Beseri, Perlis anggaran berat batang basah di ladang adalah antara 24 hingga 32 tan sehektar, iaitu peningkatan 20 hingga 60 peratus berbanding hasil semasa varieti V36 antara 20 hingga 25 tan sehektar.

“Selain potensi hasil yang lebih tinggi, kedua-dua varieti ini menampilkan ciri rupa fizikal yang unik termasuk daun berbentuk palmate serta kelopak bunga MK1 yang berwarna kuning cair sepenuhnya, sekali gus ciri-ciri ini menjadikan ia mudah untuk dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam satu majlis di Kelantan semalam, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi LKTN Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Rosli Darmawan.

Menurut kenyataan itu, nama MK merujuk kepada ‘Malaysia Kenaf’ sekali gus memperkukuh identiti tempatan dalam usaha memperkasakan industri kenaf negara.

Kenyataan itu memaklumkan varieti MK1 dan MK2 telah mendapat pengiktirafan rasmi melalui kelulusan Pemfailan Varieti Baharu Tumbuhan (PVBT) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, dengan nombor pemfailan PVBT 003/25 (MK1) dan PVBT 004/25 (MK2).

“Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara.

“Usaha ini turut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan agensi itu lagi, kerjasama strategik berkenaan membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.

“Agensi Nuklear Malaysia terus komited dalam merakyatkan teknologi nuklear melalui pembangunan penyelesaian inovatif yang memberi impak langsung kepada rakyat, sektor industri dan ekonomi negara.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperluas penggunaan teknologi nuklear secara aman, tetapi juga memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sumbangan teknologi ini dalam kehidupan seharian, khususnya dalam bidang keselamatan makanan, kesihatan dan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan