DUNIA > BERITA

KUMPULAN KEEMPAT MANGSA PENIPUAN PEKERJAAN DI MYANMAR DIHANTAR PULANG MELALUI MAE SOT

28/04/2025 09:03 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 28 April (Bernama) -- Seramai 15 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar akan dibawa pulang pada Selasa, menjadikan mereka kumpulan keempat yang dihantar pulang menerusi usaha berterusan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata semua identiti mangsa telah disahkan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

“Ini adalah kumpulan keempat mangsa penipuan pekerjaan warga Malaysia yang berjaya diselamatkan.

“Pihak berkuasa Myanmar dijangka menghantar mangsa ke Thailand melalui Jambatan Persahabatan Kedua Thailand-Myanmar di Mae Sot pagi esok.

“Kumpulan ini terdiri daripada mangsa berumur antara 19 hingga 43 tahun, termasuk dua wanita.

“Mereka akan dihantar pulang melalui jalan darat dari Mae Sot ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menggunakan bas,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Proses penghantaran pulang mangsa dilakukan dengan kerjasama rapat Kedutaan Malaysia di Yangon, Kedutaan Malaysia di Bangkok serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Beliau juga berkata pegawai kedutaan di Bangkok membantu mangsa menghubungi ahli keluarga masing-masing di Malaysia serta menyediakan dokumen perjalanan sementara.

Bas yang membawa mangsa dijangka tiba di Bukit Kayu Hitam pada petang Rabu, katanya.

Sejak Februari, seramai 40 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar berjaya diselamatkan dan dihantar pulang dalam dua kumpulan berasingan pada 24 Feb dan 12 Mac lalu.

Pada 21 Mac, Kementerian Luar Thailand melaporkan bahawa sejumlah 4,895 mangsa pelbagai warganegara yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan