DUNIA > BERITA

HARI RAYA AIDILFITRI ERATKAN UKHUWAH RAKYAT MALAYSIA DI THAILAND

26/04/2025 07:49 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 26 April (Bernama) -- Komuniti diaspora Malaysia di Bangkok, Thailand, menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri yang meriah untuk menikmati juadah tradisional Malaysia sambil meraikan kemeriahan lebaran di perantauan.

Majlis makan tengah hari anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, menjadi platform bagi rakyat Malaysia di Bangkok untuk berkumpul, bertemu sesama sendiri, dan meraikan Hari Raya bersama rakan-rakan serta ahli keluarga. 

Sambutan itu turut menyajikan pelbagai juadah istimewa yang menghidupkan suasana lebaran, termasuk lemang dan rendang, nasi impit, ketupat, ayam masak merah, nasi goreng kampung, karipap, nasi beriani, sate, mi kari, serta pelbagai jenis kuih raya, menjadi tarikan utama majlis berkenaan.

Para hadirin tampil dalam pakaian tradisional, dengan lelaki mengenakan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, manakala wanita anggun berbaju kurung.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui dalam ucapannya berkata, Hari Raya Aidilfitri adalah peluang istimewa bagi rakyat Malaysia untuk berkumpul, berkongsi kebahagiaan, dan saling bermaaf-maafan.

“Sebagai anak Malaysia di perantauan, kita tidak selalu berpeluang berkumpul, tetapi kita perlu sentiasa menjaga silaturahim dan keakraban sesama kita. Tradisi serta warisan budaya bangsa harus kita lestarikan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada diaspora Rakyat Malaysia di Thailand, yang membantu menyalurkan maklumat evakuasi dalam masa tiga jam ketika gempa bumi pada petang 28 Mac lepas, termasuk Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC), Kelab Malaysia Thailand (KMT), Persatuan Masyarakat Malaysia dan India di Bangkok dan laporan berita BERNAMA.

Sementara itu,Bong turut menyampaikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang hadir, menambahkan keceriaan dalam sambutan itu. 

Beliau juga menyeru semua warga Malaysia untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan harapan dapat mencapai sasaran kehadiran 35.6 juta pelancong asing.

Sambutan itu dihadiri kira-kira 330 orang, termasuk pegawai kedutaan dan ahli keluarga mereka, Kakitangan Pengambilan Tempatan (LRS), rakyat Malaysia, serta beberapa tetamu jemputan. 

Para hadirin turut dihiburkan dengan tarian tradisional Malaysia serta persembahan khas daripada kakitangan kedutaan di Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan