Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MADINAH, 27 April (Bernama) -- Bakal jemaah haji bagi musim haji 1446H/2025 diseru menggunakan peluang Program Ziarah Luar Tabung Haji (TH) di kota suci Madinah yang akan dilakukan nanti bagi menghayati kisah sirah Rasulullah SAW yang penuh dengan pengorbanan dan perjuangan.
Pembimbing Ibadah Haji TH Kamarudin Abd Hamid berkata menerusi program itu, jemaah haji akan turut dapat meningkatkan kefahaman mengenai agama Islam serta memantapkan persediaan mental dan fizikal sebelum mengerjakan ibadah haji.
“Perjalanan Nabi Muhammad SAW (untuk mengerjakan haji) penuh dengan ujian dan cabaran. Sebab itu kita yang mengerjakan haji dan umrah mesti membuat persiapan dan persediaan apatah lagi kita hendak mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membawa 19 petugas haji termasuk 14 pengamal media menyertai aktiviti ziarah luar ke beberapa lokasi di sekitar Madinah termasuk Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan Jabal Uhud.
Kamarudin berkata ziarah sedemikian juga penting untuk petugas media kerana mereka merupakan platform terbaik dalam menyampaikan dakwah serta ilmu mengenai agama Islam terutama tentang perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama suci ini di kota Madinah.
Pengurus Pasukan Media TH Tanah Suci Norasyikin Yusof berkata program ziarah luar itu juga dapat menambah pengetahuan dalam kalangan pengamal media tentang sirah tempat-tempat istimewa berkenaan.
"Pada hari ini kita membawa pengamal-pengamal media ke beberapa tempat bersejarah di Madinah antaranya di Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh supaya mereka dapat mengetahui sejarah di tempat yang pernah Nabi Muhammad SAW ziarahi,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarang Berita Kosmo! Muhammad Firdaus Hassan yang kali pertama menjejakkan kaki di Madinah meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk melihat sendiri sejarah serta syiar Islam di kota suci ini.
"Langkah TH membawa pengamal media menziarahi tempat bersejarah sangat bagus kerana memberi peluang kepada kita menyingkap kisah sirah nabi selain menerbitkan keinsafan dalam hati," katanya.
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka tiba pada 29 April ini pada 7.50 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah dengan pesawat penerbangan Malaysia Airlines Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial