SUKAN > BERITA

TNB RAMPAS TAKHTA MIHL DALAM KEMENANGAN EPIK

27/04/2025 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta kebangkitan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menewaskan juara bertahan Maybank 2-1 menerusi penentuan penalti shoot-out sekali gus merangkul kejuaraan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2025.

Aksi penuh debaran di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini hari ini menyaksikan TNB mempamer semangat juang luar biasa apabila berjaya mengheret perlawanan ke penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa sebenar.

Muhammad Nursyahmi Zulkifli muncul wira TNB apabila menyempurnakan pukulan terakhir penalti shoot-out untuk mengesahkan kemenangan penuh bermakna buat pasukannya.

Maybank terlebih dahulu menguasai perlawanan dengan tiga jaringan menerusi pukulan sudut penalti Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (minit ke-7), gol padang Shahmie Irfan Suhaimi (14’) dan satu lagi pukulan sudut penalti oleh Muhamad Izham Azhar (17’).

Namun, TNB tidak berputus asa dan melancarkan serangan balas pada babak kedua.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Muhamad Aminudin Mohd Zain merapatkan jurang menerusi jaringan padang minit ke-22, sebelum Nursyahmi menyumbat gol kedua TNB empat minit kemudian.

Detik dramatik hadir tiga minit sebelum tamat permainan apabila Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman menyamakan kedudukan, sekali gus memaksa penentuan penalti shoot-out.

Sementara itu, ketua jurulatih TNB Mohd Madzli Ikmar menyifatkan ketenangan diperagakan anak-anak buahnya merupakan kunci utama kejayaan mereka sekali gus dapat membalas dendam kekalahan ke atas Maybank, 1-4, pada final edisi lepas.

“Selepas ketinggalan saya ingatkan para pemain sentiasa tenang, apa sahaja yang berlaku just main and segala perancangan kita memang menjadi.

“Sebelum ini kita sentiasa tewas dengan Maybank namun hari ini pemain buktikan mereka mampu berikan keputusan yang diharapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Dalam pada itu, pasukan PDRM Blue Warriors merangkul kejuaraan sulung mereka bagi MIHL Wanita dengan kejayaan membenam BNHC KL, 5-2.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan