DUNIA > BERITA

PRESIDEN FILIPINA SEDIH TRAGEDI REMPUHAN DI FESTIVAL JALANAN DI VANCOUVER

27/04/2025 11:08 PM

MANILA, 27 April (Bernama) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. amat sedih dengan kejadian tragis yang berlaku semasa sambutan Lapu Lapu Day Block Party di Vancouver, Kanada, yang mengakibatkan sembilan maut dan beberapa lagi cedera.

"Saya amat terkejut mengenai kejadian dahsyat semasa sambutan Lapu Lapu Day Block Party di Vancouver, BC, Kanada," kata Marcos dalam satu kenyataan, menurut laporan agensi berita Filipina (PNA).

"Bagi pihak kerajaan Filipina dan rakyat Filipina, saya dan Liza ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta kepada komuniti Filipina yang kuat dan berkembang di Kanada," tambahnya.

Presiden turut memberi jaminan yang kerajaan Filipina melalui konsulatnya di Vancouver sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Kanada bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan serta memberikan bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka.

"Kami bersama keluarga mangsa dan komuniti Filipina di Vancouver dalam menghadapi detik sukar ini," katanya.

Jabatan Polis Vancouver (VPD) memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira 8.14 malam pada 26 April apabila seorang lelaki memecut kenderaannya dan merempuh sekumpulan orang ramai berhampiran East 43rd Avenue dan Fraser Street.

Pemandu lelaki berusia 30 tahun itu kini berada dalam tahanan polis.

Siasatan dikendalikan oleh Bahagian Jenayah Besar VPD, yang mengesahkan insiden bagaimanapun tidak diklasifikasikan sebagai tindakan keganasan.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan