MANILA, 27 April (Bernama-PNA) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney berkata pihak berkuasa sedang memantau keadaan dengan teliti, susulan insiden sebuah kenderaan merempuh orang ramai ketika pesta jalanan Filipina di Vancouver, yang mengakibatkan beberapa kematian dan ramai lagi cedera.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Carney dalam satu hantaran di Facebook menyatakan rasa dukacita atas tragedi itu.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, kepada komuniti Filipina-Kanada, serta kepada semua di Vancouver.
"Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat atas tindakan pantas mereka," katanya.
Media tempatan melaporkan insiden berlaku sekitar 8 malam Sabtu (petang Ahad waktu Filipina) berhampiran Fraser Street dan 43rd Avenue, semasa Lapu Lapu Day ’25 Block Party.
Polis Vancouver sebelum ini mengesahkan sembilan orang maut, namun pegawai memaklumkan jumlah sebenar korban dan mangsa cedera masih dalam proses pengesahan.
Sementara itu, Kedutaan Kanada di Filipina turut menyampaikan ucapan takziah, menyatakan yang mereka “terkilan dan berdukacita atas tragedi yang amat dahsyat ini."
"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, serta bersama-sama komuniti Filipina-Kanada dalam saat berdukacita ini," menurut kenyataan di media sosial.
Menurut saksi, kenderaan suspek memasuki kawasan pejalan kaki, memecut melepasi trak makanan sebelum merempuh orang ramai yang menghadiri pesta.
Akhbar Vancouver Sun melaporkan ketika kejadian acara itu telah tamat dan penyanyi rap Filipina-Amerika, Apl.de.ap dari kumpulan Black Eyed Peas telah menyelesaikan persembahannya sebelum insiden berlaku.
Ketua Polis Interim Steve Rai dalam sidang media tengah malam berkata orang awam berjaya menahan suspek, seorang lelaki Vancouver berusia 30 tahun, sehingga polis tiba dan menangkapnya di tempat kejadian.
Seorang saksi Abigail Andiso, memberitahu Vancouver Sun yang beliau terdengar dua dentuman kuat diikuti jeritan sebelum melihat orang ramai berlari ke arah East 43rd Avenue.
"Terdapat mayat di jalan raya. Mereka dilanggar. Ada yang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya sambil menjelaskan beliau segera menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Penganjur pesta Filipino BC, turut menyatakan rasa dukacita mereka menerusi hantaran di Instagram.
"Kami masih mencari kata-kata untuk menggambarkan kesedihan mendalam akibat tragedi yang tidak masuk akal ini. Kami berdukacita untuk keluarga dan mangsa," menurut kumpulan itu.
Pusat bantuan 24 jam diwujudkan di Pusat Komuniti Douglas Park untuk menyokong mangsa yang terjejas.
Pihak berkuasa mengesahkan yang insiden tidak diklasifikasikan sebagai serangan pengganas.
-- BERNAMA-PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial