AM > BERITA

TVET, STEM Penting Untuk Malaysia Miliki Daya Tahan Ekonomi Domestik - PM

27/04/2025 08:35 PM

KANGAR, 27 April (Bernama) -- Malaysia perlu meningkatkan keupayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penguasaan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam kalangan anak muda untuk membina daya tahan ekonomi domestik. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi mencapai hasrat itu, bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan digital perlu diutamakan selain mengikuti perkembangan ekonomi semasa.

“Jadi insya-Allah, kita bina daya tahan ekonomi...masuk lapangan kejuruteraan, AI, digital dan ikuti perkembangan ekonomi, jangan diheret isu-isu yang boleh memecahkan dan melemahkan kita, asyik kalau dengar ceramah gaduh saja, benci saja.

“Padahal kita ada kekuatan itu, bina negara ini, 10 tahun lagi, 20 tahun lagi ke mana nak dibawa rakyat dan anak-anak, fikir masa depan, nak gaduh soal kaum atau soal tafsiran ataupun angkat martabat supaya sama-sama kita menjadi sebahagian negara maju dan kuat hadapi ujian semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan peruntukan pembangunan disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Perlis dari 2022 hingga 2024 merekodkan kenaikan 65 peratus iaitu sebanyak RM645.58 juta pada tahun lepas berbanding RM596.82 juta bagi 2023 dan RM391.91 juta pada 2022.

“Untuk pemberian tahunan Perlis pada 2022 pula adalah sebanyak RM168.4 juta, 2023 (RM182.3 juta) dan 2024 (RM210.6 juta) iaitu Perlis antara tertinggi dengan kenaikan 25 peratus,” katanya.

Mengenai Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Perlis, beliau berkata penerima manfaat program itu meningkat kepada 62,292 orang setakat April ini, berbanding 25,682 penerima tahun lepas.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri serta Persekutuan di Pejabat Pembangunan Negeri Perlis di sini.

Menerusi hantaran Facebook, antara lain Anwar berkata jentera kerajaan di semua peringkat perlu segera mempercepat kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa dibelenggu kerenah birokrasi.

“Saya arahkan agensi-agensi memperketat pemantauan projek dan tidak teragak-agak menghukum pihak yang melengahkannya hingga menjejaskan rakyat.

“Menteri Besar Perlis kemudiannya membentangkan beberapa keutamaan pembangunan negeri, meliputi infrastruktur asas seperti jalan raya, kawalan banjir, pelancongan, pelabuhan dan pendidikan,” katanya.

Anwar berkata antara projek yang dibangkitkan termasuk pembangunan pelabuhan Sanglang, pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping, penyelesaian projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis dan  projek naik taraf kolam takungan banjir Chuping.

Menurut Perdana Menteri, beliau mengarahkan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping dimulakan tahun ini manakala projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas perlu segera diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan.

“Jentera kerajaan Persekutuan dan negeri harus berani berfikir di luar kerangka lama untuk memecah kebuntuan, mempercepat penyelesaian masalah rakyat dan membina benteng ekonomi yang berdaya tahan, sekali gus mengangkat martabat rakyat dan negara di persada dunia,” katanya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan