MIRI, 27 April (Bernama) -- Fasa 3 pelaksanaan Malaysian Business Reporting System 2.0 (MBRS 2.0) akan bermula pada 1 Jun ini, melibatkan dokumen di bawah Akta Syarikat 2016, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata dengan pelaksanaan fasa tersebut, kaedah serah simpan dokumen statutori secara fizikal di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan ditamatkan sepenuhnya bermula tarikh berkenaan.
“Fasa 3 melibatkan Penyata Kewangan (PK) teraudit, permohonan dan serah simpan rektifikasi atau perintah mahkamah bagi PK serta semua permohonan berkaitan lanjutan masa atau pengecualian PK di bawah Akta Syarikat 2016.
"Ini selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam memacu pendigitalan perkhidmatan agensi kerajaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pejabat SSM Cawangan Miri di Miri Times Square, Marina Parkcity, di sini hari ini.
MBRS 2.0 merupakan versi dipertingkatkan sistem MBRS asal, memudahkan penyerahan penyata tahunan, penyata kewangan, laporan dan permohonan pengecualian secara berperingkat di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat 1965.
Beliau berkata sistem tersebut dibangunkan sebagai platform digital untuk menggantikan kaedah serahan fizikal di kaunter, sebagai usaha mempertingkatkan kecekapan, ketelusan dan memudahkan urusan pengguna.
Fasa 1 (bermula 1 Dis 2024) melibatkan Penyata Tahunan (PT), PK Tidak Diaudit, Perakuan EPC, serta rektifikasi atau perintah mahkamah bagi PT dan PK Tidak Diaudit di bawah Akta Syarikat 2016.
Fasa 2 (bermula 1 Mac 2025) melibatkan PT, PK dan perakuan EPC di bawah Akta Syarikat 1965, PK bagi Institusi Kewangan di bawah BNM, serta dokumen syarikat asing.
Dalam majlis sama, Armizan menyerahkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM berjumlah RM197,356, termasuk van jenazah untuk Masjid Al Ummah Miri dan sumbangan kepada asnaf serta pertubuhan Orang Kelainan Upaya dan surau di sekitar Miri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial