KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Penyelam Black Eye Scuba Team (BEST) akan menganjurkan Program Sukarelawan Antarabangsa: Dive Against Debris, Pembersihan Pantai dan Pendidikan Alam Sekitar bertujuan memerangi aktiviti pencemaran laut serta meningkatkan kesedaran alam sekitar.
BEST dalam kenyataan hari ini memaklumkan program fasa ketiga dengan kerjasama Pejabat Daerah Besut itu juga bagi menggalakkan amalan lestari dalam kalangan sukarelawan tempatan dan antarabangsa.
“Program akan diadakan pada 10 hingga 12 Mei di Pasir Panjang atau dikenali Long Beach di Pulau Perhentian Kecil, Besut.
“Program ini mendapat kerjasama rakan strategik Kenanga Investors Berhad (KIB), sejajar dengan komitmennya terhadap kelestarian alam dan pelaburan bertanggungjawab menerusi falsafah Invest for Good untuk melindungi ekosistem marin serta mempromosikan pemuliharaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut BEST, PADI AWARE Foundation turut memperkukuh program itu dengan sokongan kepada Dive Against Debris melalui sumbangan kepakaran, sumber dan panduan untuk pengumpulan data serpihan laut secara berkesan bagi mendorong perubahan dasar demi laut yang lebih bersih.
“Dive Against Debris melibatkan pembersihan dasar laut, pengumpulan dan perekodan data serpihan marin oleh penyelam bertauliah, manakala pembersihan pantai oleh sukarelawan di kawasan pesisir untuk mengelakkan pencemaran persekitaran dan bahaya kepada hidupan marin daripada sisa.
“Bengkel interaktif dan sesi perbincangan untuk pemuliharaan laut, pelancongan bertanggungjawab dan amalan hidup lestari juga diadakan bagi pengisian pendidikan alam sekitar. Sukarelawan akan bersama-sama murid Sekolah Kebangsaan Perhentian untuk tujuan sama selain ceramah pemuliharaan penyu daripada pakar,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial