AM > BERITA

Menang PRK Ayer Kuning, Mohamad Yusri Terus Turun Bertemu Rakyat

27/04/2025 12:35 PM

TAPAH, 27 April (Bernama) -- Ibarat lirik lagu ‘Diari YB’ dendangan N.D. Lala, "Jam baru pukul lapan, YB kena lawat kawasan, tapi di tengah jalan, pengundi tahan minta bantuan" - begitulah suasana tugas pertama Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Setelah diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning malam tadi, Mohamad Yusri segera turun padang seawal 8 pagi untuk bertemu penduduk yang menyapanya dengan panggilan YB (Yang Berhormat).

Antara kawasan yang dilawatinya termasuklah Simpang Tiga, Air Kuning Selatan, dan Kampung Tersusun Haji Tahir, bertujuan menanyakan khabar, mendengar permasalahan, serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada komuniti setempat.

Beliau berkata keutamaan dalam masa terdekat adalah untuk meneliti isu-isu asas seperti prasarana, memperluas peluang ekonomi tempatan, dan memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus terpelihara.

Pada masa yang sama, beliau bertekad untuk merealisasikan manifesto yang diperkenalkan semasa kempen PRK.

Mohamad Yusri menegaskan beliau tidak mempunyai masa untuk berehat, memandangkan tempoh perkhidmatannya yang singkat menjelang pilihan raya umum akan datang, sekali gus menuntutnya untuk segera melaksanakan segala perancangan dan janji kepada rakyat.

“Dengan kurang tiga tahun sahaja sebelum pilihan raya umum seterusnya, tempoh ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan kemampuan saya membawa suara dan aspirasi rakyat Ayer Kuning,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohamad Yusri, yang juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan tersebut mengekalkan DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN yang telah dikuasai parti itu sejak 1986.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan