IPOH, 25 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan penubuhan pasukan bomba sukarela (PBS) yang dianggotai masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di Perak dan Pahang, tahun ini.
Ketua Pengarah JPBM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata inisiatif berkenaan telah dilaksanakan di kawasan felda pada tahun lepas.
"Perak, kita rancang tubuhkan PBS Orang Asli di kawasan Pulau Banding, Gerik. Satu PBS telah pun dilancarkan di Kampung Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng dan di Pahang pula kita pilih Cameron Highlands dan Lipis.
"Proses rundingan, penyediaan fasiliti akan dilakukan tahun ini dan jika semuanya berjalan lancar kita akan lancarkan pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Ibu Pejabat JBPM Perak di sini malam tadi.
Nor Hisham berkata sasaran dua negeri itu merupakan perancangan jangka panjang agensi berkenaan yang menyasarkan 500 PBS ditubuhkan di seluruh negara menjelang 2030.
Beliau berkata penubuhan PBS disasarkan di kawasan yang tidak mencapai skor risiko pembinaan balai bomba seperti pulau-pulau kecil yang mempunyai komuniti serta kawasan pedalaman.
Pada masa sama, iai sebagai langkah memperkasa perkhidmatan PBS serta pasukan respons awal sementara ketibaan pihak bomba.
"Sebelum ini PBS lebih didominasi oleh masyarakat Cina dan sebahagian besar komuniti Melayu malah kita juga mempunyai satu komuniti PBS dari kalangan masyarakat India di Negeri Sembilan dan fokus kini tertumpu kepada Orang Asli," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial