AM > BERITA

Pelajar Orang Asli Catat Keputusan Cemerlang Dijamin Tempat Ke IPMA - Ahmad Zahid

25/04/2025 02:21 PM

TAPAH, 25 April (Bernama) -- Pelajar Orang Asli yang meraih keputusan cemerlang 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijamin tempat untuk melanjutkan penganjian di Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) (IPMA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meminta Pengarah MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya memastikan pelajar Orang Asli berkenaan diberikan biasiswa 100 peratus untuk melanjutkan pelajaran ke IPMA.

"Ini adalah keprihatinan Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya membantu terjemahkan pelaksanaannya pada seluruh kumpulan masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor, Asyraf Wajdi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Hadir sama lebih 1,000 masyarakat Orang Asli dari seluruh Perak.

Bagi pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 5A dan ke bawah pula, Ahmad Zahid berkata mereka juga akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

Beliau berkata untuk 2024, sebanyak 1,932 pelajar Orang Asli telah menduduki peperiksaan SPM di seluruh Semenanjung Malaysia dan daripada jumlah itu, 87 pelajar berjaya mencatat keputusan 5A ke atas iaitu 9A (dua), 8A (13), 7A (11), 6A (22) dan 5A (39).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata laluan TVET khusus untuk Orang Asli turut diwujudkan bagi memastikan mereka turut menjadi sebahagian daripada sumber manusia berkemahiran di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan