AM > BERITA

Diskaun 50 Peratus Permohonan Hak Cipta Galak Pemilik Karya Daftar Perlindungan - Armizan

24/04/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pengurangan fi sebanyak 50 peratus bagi Permohonan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta untuk tempoh enam bulan bermula Sabtu ini sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengurangan itu meliputi untuk karya muzik, rakaman bunyi serta karya berkaitan muzik yang dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Sekiranya kita ingin memperjuang, meningkat, menambah baik perlindungan berkaitan hak cipta termasuklah royalti muzik, ia perlu bermula dengan kesedaran pihak berkepentingan itu sendiri seperti pengkarya, pemilik karya dan artis.

“Jadi kita harap industri, pemilik karya dan juga pengkarya dapat memanfaatkan peluang ini (diskaun fi) untuk membuat permohonan IP (harta intelek),” katanya pada Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025 bertemakan ‘Muzik Kita, Milik Kita’ di Menara MyIPO hari ini.

Armizan berkata walaupun sebanyak 9,363 permohonan hak cipta direkodkan tahun lepas melibatkan tujuh kategori karya, hanya 95 permohonan membabitkan karya muzik manakala 65 untuk rakaman bunyi.

Setakat 15 April lepas, beliau berkata daripada 1,958 permohonan pendaftaran hak cipta, hanya tiga adalah untuk karya muzik dan 23 bagi rakaman bunyi.

Justeru beliau berkata program kesedaran perlu ditingkatkan untuk memperkukuh kefahaman seterusnya menggalakkan pihak berkepentingan untuk membuat permohonan pendaftaran hak cipta bagi memelihara karya masing-masing.

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan kementeriannya melalui MyIPO komited memperkukuh pembangunan kapasiti melalui kerjasama strategik, termasuk menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China National Intellectual Property Administration (CNIPA). 

MoU itu yang dimeterai semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu lepas bertujuan memperbaharui kerjasama yang telah dimulakan sejak 2015. 

“Kerjasama ini untuk memperluas skop kerjasama melibatkan bidang harta intelek merangkumi pertukaran maklumat, pembangunan strategi dan pelaksanaan amalan terbaik demi kepentingan bersama kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata antara inti pati MoU itu ialah berkaitan perlindungan petunjuk geografi yang berpotensi merangsang pembangunan ekonomi setempat melalui pengiktirafan produk unik di sesebuah kawasan, pembangunan kapasiti dan teknologi serta pemerkasaan pemeriksaan paten. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan