AM > BERITA

Permohonan Hak Cipta Karya Seni Muzik Masih Rendah - MyIPO

22/04/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Permohonan perlindungan hak cipta bagi karya seni muzik dan rakaman bunyi di negara ini masih rendah berbanding karya sastera, kata Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Yusnieza Syarmila Yusoff.

Beliau berkata berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh 10 tahun ini, permohonan karya seni muzik yang terima MyIPO di bawah 1,000 permohonan.

“Kalau kita tengok dalam tempoh 10 tahun ini, karya sastera ada 37,000 permohonan berbanding karya seni muzik yang menerima di bawah 1,000 permohonan. Untuk karya muzik, kita menerima 786 permohonan manakala rakaman bunyi hanya ada 907 permohonan.

“Itu sebabnya mengapa kita memilih tema ‘Muzik Kita, Milik Kita’ sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara pada tahun ini, kita nak mengangkat karya tempatan supaya ada kesedaran untuk mendaftar hak cipta dengan MyIPO,” katanya semasa program temu bual Bernama Radio di sini hari ini.

Sementara itu, Yusnieza Syarmila berkata sejak setahun kebelakangan ini, MyIPO menerima lebih 69,000 permohonan hak cipta dan proses pendaftaran boleh dilakukan di mana-mana pejabat MyIPO, dengan bayaran RM200 sahaja.

Sejak sistem pendaftaran sukarela hak cipta bagi penggiat industri tempatan diperkenalkan pada 2012, pengeluaran sijil kini cuma mengambil masa 30 minit berbanding sebulan sebelum itu, dengan syarat borang telah lengkap.

Beliau berkata dengan mendaftarkan hak cipta, ia akan menjadi pemudah cara sekiranya berlaku pelanggaran hak.

“Apabila ada dokumentasi yang kukuh, ia boleh menjadi bahan bukti untuk membantu pemilik karya sekiranya ada pelanggaran hak cipta. Kalau ada pelanggaran (hak cipta), mudah kita nak lapor kepada pihak penguat kuasa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan semakan dengan MyIPO sebelum membuat serbuan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai tempoh perlindungan hak cipta, Yusnieza Syarmila berkata karya yang telah berdaftar dengan MyIPO akan dilindungi sepanjang hayat dan hingga tempoh 50 tahun selepas pemilik karya meninggal dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan