AM > BERITA

Sarawak Model Perpaduan Dalam Kepelbagaian Bagi ASEAN - Tiong

23/04/2025 09:43 PM

KUCHING, 23 April (Bernama) -- Sarawak terus menjadi contoh perpaduan dalam kepelbagaian bagi ASEAN, mencerminkan inti pati Malaysia sebagai negara yang harmoni dan kaya budaya, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Tiong King Sing.

Beliau berkata falsafah Iban 'Segulai Sejalai' yang membawa maksud bersama dalam kesatuan bukan sekadar slogan tetapi satu cara hidup bagi rakyat Sarawak, yang menerapkan keharmonian pelbagai budaya menerusi amalan harian mereka.

"Di Sarawak, semangat ini bukan sekadar suatu slogan, ia wujud dalam komuniti kami, sama ada Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Gawai, Deepavali, Krismas, dalam pelbagai perayaan keagamaan yang menyaksikan komuniti berkumpul tanpa mengira latar belakang," katanya pada majlis makan malam Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-33 di sini, hari ini.

Tiong berkata pengumuman Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO pertama Malaysia merupakan pengiktirafan global kepada warisan kulinari negeri ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang budaya.

"Malam ini, kami telah memilih dan menyediakan menu untuk anda, menampilkan pelbagai hidangan tempatan seperti Laksa Sarawak, Mi Kolok, Kampua, Umai dan Ayam Pansuh (ayam dimasak dalam buluh), disajikan di gerai-gerai di sini," katanya.

Tiong berkata Sarawak dikenali dengan kepelbagaian budayanya dan 34 kumpulan etnik, menjadikan ia destinasi yang unik dan menarik untuk diterokai.

"Daripada tatu tradisional pahlawan Iban kepada kraf manik Orang Ulu, setiap budaya menyampaikan kisahnya. Setiap kumpulan etnik menyumbang kepada ekosistem budaya hidup yang penuh warna-warni dan mempunyai semangatnya tersendiri," katanya.

Mesyuarat ASCC yang berlangsung dari 22 hingga 26 April di Kuching merupakan mesyuarat peringkat menteri berjadual yang dianjurkan dua kali setahun untuk membincangkan isu utama sosiobudaya di rantau Asia Tenggara. 

Mesyuarat dihadiri wakil dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan