KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Proses kajian pemasangan sensor di stesen transit aliran ringan (LRT) dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Presiden Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana berkata sensor yang akan memberi amaran sekiranya terdapat individu cuba melepasi kawasan zon selamat itu dijangka dilaksanakan tahun ini, jika kajian dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kami sedang buat kajian dan apabila kajian itu siap, baru kami akan putuskan bila boleh laksanakan proses pemasangan sensor berkenaan.
“Perkara ini memerlukan kajian yang lebih mendalam. Jadi, kami akan habiskan kajian dulu dan selepas itu baru kami tentukan jangka masa dan seterusnya memperhalusi jumlah kos yang terlibat,” katanya ketika ditemui pada Program Prasarana Memperkukuh Usaha Membangun Tenaga Kerja Masa Depan Selaras Agenda Dasar TVET Negara di Menara Prasarana, Petaling Jaya hari ini.
Mohd Azharuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pemasangan sensor di stesen LRT susulan kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut akibat terjatuh ke landasan sebelum dilanggar tren di Stesen LRT Titiwangsa pada 22 Feb lepas.
Pada 31 Mac lepas, Azharuddin berkata Prasarana akan menggariskan langkah keselamatan tambahan di stesen LRT dengan memasang sensor, selain penyelesaian jangka panjang iaitu memasang pintu skrin platform seperti di stesen MRT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial