PETALING JAYA, 23 April (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan melatih 1,000 individu menerusi Program TVET Prasarana sebagai usaha menyokong Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata program itu, akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dengan penglibatan 200 pelatih setahun.
Tempoh latihan ialah 12 bulan dengan bidang ditawarkan pengoperasian bas elektrik, penyelenggaraan tren (Rolling Stock) dan keselamatan siber, selain semua pelatih layak menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
“Kesemua program ini dijadual bermula pada suku keempat tahun ini dan menyasarkan melatih individu terdiri daripada lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan graduan universiti.
“Usaha ini selari dengan keperluan industri serta menyokong Dasar TVET Negara 2030 untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi,” katanya pada Program Prasarana Memperkukuh Usaha Membangun Tenaga Kerja Masa Depan Selaras Agenda TVET Negara di sini hari ini.
Mohd Azharuddin berkata secara dasarnya, Prasarana selaku syarikat besar mengendalikan 13,000 pekerja ingin terus menyumbang dalam melahirkan bakat baharu yang mempunyai pendedahan awal tentang operasi syarikat.
Selain itu, Prasarana turut memeterai kerjasama strategik bersama Hitachi Rail, bagi memperkukuh dan memperluas pelaksanaan program TVET di Malaysia.
Kerjasama strategik itu sebagai sokongan kepada fokus bersama dalam pembangunan modal insan merangkumi pelaksanaan program Protege Hitachi melibatkan 29 peserta, yang berpeluang menyertai sesi bersama kepimpinan kanan serta lawatan pembelajaran ke pusat kawalan operasi rel dan depoh penyelenggaraan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hitachi Rail bagi perniagaan Urban Rail Signalling Ziad Rizk berkata program protege itu membolehkan mereka membantu melahirkan tenaga berkemahiran tinggi dalam kalangan generasi muda tempatan.
“Hitachi Rail berbangga mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan kemahiran dan inovasi strategik. Kerjasama bersama Prasarana selama 30 tahun dan pelaksanaan teknologi SelTrac penting dalam menambah baik operasi rel dan kami amat teruja untuk terus memajukan industri rel di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial