KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penglibatan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim bukan untuk mengawal kebebasan badan kehakiman, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan mengetahui perkembangan dalam badan kehakiman terbabit, kata Pakar Perundangan dan Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz.
Shamrahayu berkata peranan Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam melantik hakim adalah suatu yang telah wujud dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan sejak 1957 lagi.
"Saya percaya antara sebab peruntukan itu dibuat adalah supaya ada penglibatan daripada pihak kerajaan dalam hal berkaitan dengan badan kehakiman.
"Terdapat pengasingan kuasa badan kehakiman dan badan eksekutif, iaitu Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara adalah mewakili badan eksekutif," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian diminta mengulas mengenai ucapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta, baru-baru ini supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.
Tengku Maimun berkata menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
Perkara 122B memperuntukkan bahawa pelantikan hakim hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Dalam pada itu, Shamrahayu berkata berdasarkan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Perdana Menteri hanya boleh mengesyorkan nama-nama calon hakim atau menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai nama terbabit yang disyorkan oleh suruhanjaya itu.
"Walaupun Perkara 122B memberi kuasa besar kepada Perdana Menteri, namun kawalan kuasa itu ada dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Oleh itu, kuasa Perdana Menteri boleh dikawal selia oleh satu mekanisme yang ada dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman," katanya.
Beliau berkata pemansuhan kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan hakim perlu diteliti dengan baik kerana ia memberi implikasi besar kepada kerangka perundangan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial