AM > BERITA

Malaysia Terus Perjuang Isu Gaza Sambil Pelihara Kepentingan Negara - PM Anwar

11/04/2025 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Malaysia akan terus membangkitkan isu Gaza, Palestin sambil mengutamakan kepentingan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa kedua-dua elemen itu adalah penting sekiranya Malaysia ingin menyediakan sokongan yang bermakna terhadap perjuangan rakyat Palestin.

"Sebagai sebuah negara membangun, kita telah melakukan yang terbaik, namun (isu ini) masih belum selesai.

"Pastikan kita dapat bersuara (menyokong perjuangan Palestin) sebanyak mungkin, tetapi kita perlu betulkan negara kita, hentikan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pastikan kita mentadbir dengan baik dan melindungi kepentingan rakyat. Itulah jawapannya. Bukan jangka pendek, tetapi jangka panjang," kata beliau di sini hari ini.

Bercakap pada program "Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming" – sesi dialog terbuka yang dihadiri hampir 3,000 pelajar dan petugas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – Perdana Menteri mengingatkan bahawa kelemahan negara boleh mendedahkan ia kepada eksploitasi dan menjejaskan keupayaan untuk membantu pihak lain dengan berkesan.

"Jika kita lemah, orang akan merampas kekayaan kamu, kemudian kamu ditindas dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Kami akan terus memperjuangkan isu Gaza dan melindungi kepentingan negara kita kerana tanpa kepentingan ekonomi dan kekayaan, kita tidak dapat membantu mereka. Sudah tentu kita boleh menyatakan sokongan dengan kuat," kata beliau.

Ditanya sama ada sokongan teguh Malaysia terhadap Palestin menjejaskan hubungan dengan negara barat, Anwar berkata Malaysia kekal sebagai negara perdagangan, dengan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pelabur terbesar dan destinasi eksport utama, diikuti China dan Jerman.

"Kita telah menyuarakan rasa tidak senang dan perbezaan pandangan dalam pelbagai isu, tetapi ia bukan perkara baharu. Malah, semasa Perang Vietnam dahulu, pemimpin pelajar kita pernah membantah terhadap apa yang kita anggap sebagai ketidakadilan. Adakah mereka (kuasa barat) sudah belajar? Malangnya, masih ramai yang belum," kata beliau.

Anwar turut menyentuh tentang fahaman neokolonialisme berterusan yang menghakis nilai kemajmukan dan maruah manusia, serta menegaskan pendirian teguh Malaysia menolak semua bentuk penjajahan.

"Kita menentang kekejaman yang menyebabkan begitu banyak penderitaan dan akan terus melibatkan diri," kata beliau.

Mengulas mengenai ketegangan perdagangan termasuk langkah tarif yang diperkenalkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Anwar berkata Malaysia komited melindungi kepentingan negara sambil mengharungi cabaran ekonomi global.

Beliau berkata tindakan seperti itu bercanggah dengan amalan perdagangan antarabangsa termasuk yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"AS menggesa kita agar segera menerima syarat perdagangan tertentu. Apabila kita menerima, mereka pula membatalkan syarat itu. Kita tidak beroperasi sebegitu …  adakah kita bersetuju dalam semua perkara? Tidak. Adakah kita melindungi kepentingan negara? Sudah tentu.

"Saya ingin melindungi negara ini, pekerja dan keluarga kita. Apa sahaja keputusan yang dibuat perlu memenuhi kepentingan negara dan antarabangsa serta rakyat, pelabur dan industri utama, seperti semikonduktor," kata beliau dan menambah sebanyak 65 peratus eksport Malaysia adalah ke AS.

Anwar turut menyebut tentang keyakinan berterusan daripada syarikat utama AS, seperti Oracle dan Microsoft yang kekal komited untuk beroperasi di Malaysia walaupun menghadapi cabaran di negara jiran.

Beliau berkata kestabilan politik serta dasar yang jelas dan konsisten amat penting untuk mengekalkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur antarabangsa.

 Ketika Malaysia terus menyeimbangkan hubungan dengan rakan dagang utama, Anwar turut menegaskan kepentingan pemusatan ASEAN dalam dasar luar negara.

"Beberapa hari lagi, Presiden Xi Jinping akan tiba. Sudah tentu, AS dan China kini dalam perang perdagangan, tetapi saya juga mempengerusikan ASEAN tahun ini dan dasar kita jelas, iaitu keutamaan negara anggota.

"Kita akan terus menjalinkan hubungan dengan AS sebagai sekutu, sahabat dan rakan dagang. Tetapi, tidak ada siapa yang berhak menghalang kita daripada membina hubungan yang kukuh dengan China, kuasa ekonomi besar yang menghormati kedaulatan kita. China tidak pernah menimbulkan sebarang isu. Mereka mengiktiraf dan menghormati kebebasan dan hak kita," kata beliau.

Pada masa yang sama, Anwar turut menyeru perpaduan dalam kalangan negara Islam, negara jiran dan kuasa barat yang berkongsi pendirian dengan Malaysia dalam menyokong Palestin, supaya bersama-sama mendesak gencatan senjata dan menamatkan kekejaman berterusan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan