AM > BERITA

Lawatan Negara Presiden Xi, Mercu Tanda Penting Hubungan Malaysia-China

13/04/2025 09:34 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu depan pasti akan menjadi kunjungan ketua negara asing paling berprofil tinggi ke negara ini, sekali gus mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala.

Lawatan beliau dari 15 hingga 17 April ini dianggap amat tepat pada masanya, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, blok serantau yang dianggotai oleh 10 negara, dengan pelbagai siri mesyuarat dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.

Persinggahan pemimpin China di Malaysia, selain ke Kemboja dan Vietnam, dijangka menyuntik semangat baharu kepada ASEAN kerana ia menggambarkan betapa pentingnya kumpulan serantau tersebut.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN sejak 2009, dengan jumlah perdagangan yang meningkat lebih dua kali ganda sejak 2010.

Bagi Malaysia, lawatan Presiden Xi merupakan kesinambungan kukuh kepada sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang diraikan tahun lepas, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah persahabatan dua hala.

Malah, hubungan antara China dan dunia Melayu telah terjalin sejak sekian lama, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pertukaran budaya yang bermula sejak abad ke-13 melalui Kesultanan Melaka.

Kerajaan Dinasti Ming juga pernah menghantar Laksamana Zheng He ke Melaka sekurang-kurangnya lima kali sebagai sebahagian daripada misi diplomatik dan pelayaran beliau di rantau ini.

Selat Melaka merupakan laluan maritim yang amat penting bagi China, memandangkan Melaka ketika itu memainkan peranan besar dalam merancakkan perdagangan serantau. Hingga hari ini, ia kekal sebagai laluan strategik utama.

Lawatan kali ini turut menandakan genap 12 tahun sejak kunjungan terakhir Presiden Xi ke Malaysia pada 2013, sekali gus menjadi satu lagi detik bermakna dalam hubungan dua hala.

Kunjungan ini sememangnya dijangka menjadi detik penting yang membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-China, khususnya dari segi diplomatik, ekonomi dan geopolitik.

Presiden Xi dijadualkan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan Agensi Berita Xinhua, Xi dan Anwar dijadual mengadakan rundingan rasmi. Laporan itu menyebut bahawa “China melihat lawatan ini sebagai peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang politik dan keselamatan, memperdalam penyelarasan strategi pembangunan, serta memperluas pertukaran budaya antara kedua-dua negara.”

Pastinya, lawatan ini menjadi platform yang penting bagi kedua-dua negara untuk memperbaharui komitmen bersama serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Meskipun kunjungan ini telah dirancang sebelum pelaksanaan tarif global oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, ia tetap mencerminkan kesungguhan China untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara di Asia Tenggara.

Sebagai rakan dagang penting, Malaysia berpotensi meraih manfaat dalam pelbagai bidang seperti pembangunan infrastruktur, ekonomi digital dan tenaga boleh baharu.

Dalam konteks ASEAN, lawatan Xi amat bertepatan untuk membincangkan kerjasama serantau dan menangani cabaran bersama, khususnya dalam memperkukuh hubungan ASEAN-China. Ia juga membuka ruang untuk mengadakan perbincangan berkaitan perdagangan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.

Dalam aspek perdagangan, lawatan ini dijangka menyuntik semula semangat terhadap projek-projek di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Malaysia, termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan inisiatif "Dua Negara, Taman Berkembar" yang bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan serta integrasi ekonomi antara kedua-dua negara.

Perdagangan dua hala antara China dan Malaysia mencatatkan rekod baharu sebanyak USD212.05 bilion pada 2024.

Ketibaan pelancong dari China ke Malaysia melonjak sebanyak 136.5 peratus, melebihi tiga juta orang setakat tahun ini, menunjukkan minat tinggi rakyat China untuk melancong ke Malaysia, terutamanya dengan dasar pengecualian visa selama 30 hari.

Malaysia menyasarkan kedatangan lima juta pelancong dari China setiap tahun, dan diharap lawatan Presiden Xi ini dapat merangsang lagi sektor pelancongan serta meningkatkan visibiliti Malaysia dalam kalangan rakyat China.

Lebih 300 wartawan dari China dan agensi berita antarabangsa telah memohon akreditasi untuk membuat liputan lawatan bersejarah ini.

Kuala Lumpur bersedia menyambut kedatangan Presiden Xi Jinping. Selamat Datang!

-- BERNAMA

 

Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai, yang telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama lebih 40 tahun, kini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan