KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Malaysia perlu mengambil pendekatan menyeluruh dengan melibatkan kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan kerjasama antarabangsa bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan memperkukuh daya tahan negara, kata aktivis alam sekitar Tan Sri Lee Lam Thye.
Menyifatkan perubahan iklim sebagai satu daripada cabaran global paling mendesak pada masa ini, beliau memberi amaran Malaysia telah mula mengalami kesan buruknya seperti peningkatan suhu dan cuaca yang tidak menentu yang menyebabkan berlakunya banjir, kemarau dan kemerosotan biodiversiti.
“Sebagai sebuah negara tropika yang kaya dengan biodiversiti dan memiliki garis pantai yang panjang, Malaysia amat terdedah kepada kesan buruk perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata peningkatan suhu telah menyebabkan gelombang haba lebih kerap yang memberi kesan kepada kesihatan orang ramai, pertanian dan penggunaan tenaga selain haba yang berpanjangan boleh memburukkan masalah pernafasan dan mengurangkan produktiviti tenaga kerja terutamanya melibatkan kerja luar.
Beliau turut memberi amaran hujan lebat yang dikaitkan akibat perubahan iklim telah mengakibatkan banjir lebih kerap dan buruk, mengakibatkan pemindahan keluarga serta menjejaskan ekonomi.
Lee berkata kenaikan paras laut juga adalah satu lagi kebimbangan utama bagi Malaysia yang memiliki lebih daripada 4,600 kilometer panjang garis pantai.
“Hakisan pantai dan penerobosan air masin mengancam orang ramai, pertanian dan sumber air tawar, terutama di kawasan rendah seperti Pulau Pinang dan Sabah,” katanya.
Ekosistem semula jadi negara juga, katanya berdepan ancaman dengan lebih banyak kejadian pemutihan karang, penebangan hutan serta kehilangan habitat.
“Hasil tanaman semakin berkurangan akibat corak cuaca yang tidak menentu, manakala peningkatkan suhu laut memberi kesan kepada bekalan ikan. Industri pelancongan yang menjadi penyumbang utama kepada hasil negara berdepan ancaman jangka panjang apabila tarikan alam seperti pantai dan hutan terus mengalami kerosakan,” katanya.
Justeru, bagi mengurangkan ancaman berkenaan dan membina daya tahan, Lee menyeru agar pendekatan pelbagai aspek diambil meliputi pembaharuan dasar, kemajuan teknologi, penambahbaikan infrastruktur, penglibatan masyarakat serta kerjasama antarabangsa.
Lee menggesa kerajaan agar menguatkuasakan peraturan alam sekitar yang lebih tegas dan melaksanakan Pelan Adaptasi Kebangsaan, selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.
Beliau turut menekankan keperluan untuk mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan hidroelektrik.
“Wajar untuk kita memberikan insentif kepada perniagaan dan isi rumah agar mereka mengadaptasi teknologi dan amalan lebih cekap tenaga,” katanya.
Berkaitan pemuliharaan alam sekitar, Lee menggesa agar usaha penanaman semula hutan dan pemuliharaan ditingkatkan terutama dalam melindungi hutan hujan, paya bakau dan terumbu karang.
Beliau turut menekankan kepentingan mendidik masyarakat berkaitan kesan perubahan iklim dan kepentingan amalan hidup lestasi.
“Perubahan iklim adalah ancaman serius terhadap alam sekitar, ekonomi dan masyarakat, namun dengan langkah proaktif serta tindakan kolektif, Malaysia mampu mengurangkan kesannya dan membina masa depan yang lebih selamat dan lestari.
“Sekarang adalah masanya untuk kita bertindak demi kebaikan planet ini dan generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial