KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi lima projek yang menjadi keutamaan di Pahang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata projek terbabit melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FTO3); penaiktarafan jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51 kilometer dan pakej enam bagi Central Spine Road antara Karak-Simpang Pelangai, Bentong.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dua lagi projek ialah penaiktarafan jalan dari Kampung Padang ke persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Pantai Timur 1 (Fasa 2) dan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 7 berserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Kuala Lipis.
Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang bersama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
"Dalam mesyuarat itu, saya telah dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang melibatkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan, perumahan.
"Saya telah bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang," kata beliau dalam hantaran menerusi Facebook.
Anwar berkata beliau percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek dengan teliti, ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara.
Anwar berkata dalam mesyuarat itu, beliau turut memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepemimpinan negeri untuk pantas meningkatkan prestasi serta perkemas prinsip 'good governance' agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap lebih cemerlang dan bermakna.
Selain melihat kepada perancangan projek pembangunan, mesyuarat berkenaan kata beliau turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di Pahang yang bakal dinoktahkan menjelang hujung bulan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial