AM > BERITA

Naib Canselor UPSI Dilantik Sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Ke-15

11/04/2025 06:24 PM

IPOH, 11 April (Bernama) -- Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) berkuat kuasa 7 Mac lepas.

UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Md Amin sebagai pengerusi ke-15 bagi sesi 2025-2026  itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. 

“Pelantikan beliau adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 [Akta 225], Seksyen 4(2) dan 4(3). 

"Pelantikan ini berkuat kuasa shingga 30 Jun tahun depan atau sehingga tamat tempoh beliau sebagai Naib Canselor universiti awam, yang mana-mana terdahulu,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Md Amin dalam kenyataan sama menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar dalam usaha memperkasakan sistem pentaksiran negara.

"Saya menjunjung kasih atas kepercayaan dan perkenan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. 

"Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab. Ini bukan sahaja satu penghormatan kepada diri saya, tetapi juga kepada UPSI secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata antara fokus utama setelah menerajui MPM terus memastikan ketelusan, kredibiliti dan kebolehpercayaan sistem peperiksaan negara sejajar dengan aspirasi pendidikan Malaysia.

“Saya komited untuk memperkukuhkan peranan MPM sebagai badan utama yang berautoriti dalam aspek penilaian dan pentaksiran. 

“Kita perlu responsif terhadap keperluan semasa, termasuk aspek digitalisasi dan keberkesanan pentaksiran dalam abad ke-21,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan