KAJANG, 8 April (Bernama) -- Kira-kira 1,200 penggiat seni kreatif disasarkan menyertai Briged Seni Kreatif Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjelang 2026, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang dilantik Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) hari ini berkata setakat ini, sebanyak 172 warga seni kreatif termasuk daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) telah mendaftar sebagai ahli Briged Seni Kreatif APM.
“Kita mempunyai hasrat menjelang tahun depan, 1,200 warga seni kreatif akan dapat bersama dengan (Briged Seni Kreatif APM).
“Rakan dalam Briged Seni Kreatif akan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk turut serta terlibat dengan APM,” katanya ketika berucap pada sambutan penutup Bulan Pertahanan Awam 2025 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Fahmi berkata penglibatan warga seni kreatif sebagai sukarelawan dapat memainkan peranan tertentu sekali gus membuka mata masyarakat tentang gerak kerja APM ketika bencana.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi juga sentiasa bersedia meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai APM serta aspek berkaitan bencana, seperti banjir.
“Saya telah minta supaya Briged Seni Kreatif bersiap sedia menjelang bulan kesiapsiagaan pada Oktober ini. Kita akan pastikan ada warga seni kreatif di setiap negeri yang terlibat bersempena dengan bulan kesiapsiagaan nanti,” katanya.
Fahmi berkata FINAS akan turut membantu menyediakan beberapa pesanan khidmat masyarakat (PSA) mengenai APM serta perkara berkaitan termasuk amalan yang perlu dilaksanakan ketika bencana berlaku.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Fahmi merupakan antara 79 individu yang menerima watikah pelantikan sebagai pegawai kehormat dan bersekutu APM yang disampaikan Ahmad Zahid bersempena dengan sambutan penutup Bulan Pertahanan Awam 2025 hari ini.
Fadillah dilantik Ketua Pesuruhjaya Perdana (Pertahanan Awam) manakala Fahmi serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, masing-masing dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial