KOTA BHARU, 10 April (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat memperkukuh pertahanan siber bagi menghadapi ancaman dan serangan digital yang semakin kompleks dan berisiko tinggi, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata tahap keselamatan negara menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan (MINDEF), khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan siber yang semakin mencabar.
“Di peringkat kementerian, kita mempunyai Bahagian Sains dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) yang berperanan mengurus keperluan siber dan teknologi dalam usaha menangani sebarang bentuk ancaman.
“Selain itu, kita juga berhasrat memperluas domain siber melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Dewan Perniagaan Cina, di sini hari ini.
Menurut beliau, peperangan masa hadapan bukan sahaja tertumpu kepada pertempuran fizikal atau penggunaan aset ketenteraan, sebaliknya turut melibatkan gangguan dan serangan di ruang siber.
Adly berkata pihaknya kini giat membangunkan kekuatan bukan sahaja dari aspek aset, malah turut memberi tumpuan terhadap pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.
“Dalam kalangan pelajar ketenteraan, kita kenal pasti mereka yang mempunyai kemahiran siber yang tinggi untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada pasukan guna tenaga dalam membangunkan keupayaan pertahanan siber negara,” katanya.
Beliau berkata usaha berterusan ini penting bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial