AM > BERITA

Malaysia, Filipina Perkukuh Diplomasi Maritim Tangani Ancaman Rentas Sempadan

10/04/2025 06:11 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Malaysia dan Filipina mencapai kata sepakat yang signifikan bagi memperkukuhkan diplomasi maritim antara kedua-dua negara dalam mempertingkatkan keselamatan perairan serta menangani ancaman rentas sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata perkara itu dicapai dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya Laksamana Muda Hostillo Arturo E. Cornelio dari Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG).

"Kerjasama serantau yang mantap adalah kunci untuk menangani pelbagai cabaran maritim, terutamanya isu pemerdagangan manusia, penyeludupan dan ancaman keselamatan bukan konvensional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saiful Lizan berkata turut dibincangkan adalah kerjasama penguatkuasaan undang-undang maritim, pembangunan modal insan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut Sulu dan Laut Celebes.

Beliau berkata pertemuan itu berlangsung sempena lawatan ulung kapal peronda luar pesisir BRP Gabriela Silang (OPV-8301) milik PCG ke Malaysia dari 8 April lepas hingga hari ini.

Selain pertemuan tersebut, delegasi PCG turut mengadakan Table Top Exercise (TTX) di atas kapal BRP Gabriela Silang yang melibatkan Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya dan MRCC Filipina. 

Latihan itu bertujuan menilai keupayaan respons dan memperkukuhkan jaringan komunikasi serta prosedur operasi maritim di antara kedua-dua negara. 

Lawatan itu turut menyaksikan delegasi PCG mengadakan lawatan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) dan telah diberikan taklimat mengenai operasi, aset serta demonstrasi penyelamatan oleh perenang penyelamat.

Kapal BRP Gabriela Silang disambut ketibaannya pada 8 April lepas dengan iringan muzik patriotik oleh pasukan pancaragam Maritim Malaysia di Port Klang Cruise Terminal (PKCT).

Sambutan itu menandakan permulaan lawatan yang penting dalam memperkukuhkan sinergi maritim antara Malaysia dan Filipina. 

Ia juga bukti komitmen kedua-dua negara dalam menjaga keselamatan perairan serantau dan memastikan kelestarian sumber laut serta menjamin keamanan bagi generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan