KOTA BHARU, 10 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak akan memberi sebarang kelonggaran dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kes buli dan penderaan melibatkan anggota tentera, dengan tindakan tegas akan diambil di peringkat kementerian dan mengikut undang-undang.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melanggar batas hingga menyebabkan kejadian buli.
“Penekanan diberikan terhadap SOP bagi menangani kes buli. Walaupun kes ini boleh dianggap terpencil, tindakan tetap diambil.
“Seperti dinyatakan Panglima Tentera Darat, memang terdapat beberapa kes dilaporkan tetapi kita telah ada SOP yang jelas dengan dua pendekatan iaitu tindakan di peringkat Mindef dan tindakan dalaman ATM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di Dewan Perniagaan Cina di sini hari ini.
Adly berkata Mindef tidak membenarkan sebarang bentuk pembulian walaupun latihan ketenteraan dijalankan dengan tegas mengikut modul yang ditetapkan.
Beliau berkata kementerian itu mempunyai mekanisme dalaman termasuk jawatankuasa khas bagi membezakan antara latihan disiplin dan perlakuan buli.
“Kita telah membuat beberapa keputusan melibatkan kes buli dan memberi peringatan bahawa pelaku akan berdepan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata langkah tambahan juga telah diambil termasuk menambah bilangan warden di Maktab Tentera Diraja, mengasingkan pelajar junior dan senior serta memasang kamera litar tertutup di kawasan strategik.
“Selain itu, kita turut menyediakan ruang pemulihan psikologi, memberi khidmat nasihat serta pendidikan bagi menanam kesedaran dalam kalangan pelajar dan keluarga,” katanya.
Pada Isnin lepas, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilapor berkata 41 pegawai dan anggota tentera darat telah diberhentikan daripada perkhidmatan kerana terlibat dengan kes buli dan penderaan membabitkan anggota bawahan, sejak tahun 2019.
Muhammad Hafizuddeain berkata mereka terdiri daripada 12 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial