BAGAN SERAI, 10 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRES) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.
Menteri NRES Nik Nazmi Nik Ahmad berkata negara bakal menghadapi cuaca panas dan kering susulan fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pertengahan bulan depan.
Beliau berkata perubahan cuaca ini boleh memberi risiko pada suhu badan selain mengundang penyakit lazim seperti demam, selesema, batuk dan hipotermia khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
"Menurut rekod, pada 2023 dan tahun lepas, negara kita telah merekodkan banyak kes penyakit berkaitan cuaca panas di Malaysia dengan beberapa kematian akibat strok haba.
"Malah, kejadian banjir juga masih berlaku ketika ini, akibat cuaca yang tidak menentu. Meskipun cuaca panas ketika ini belum lagi pada tahap yang kritikal, namun kita perlu sentiasa berwaspada," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Cawangan Hijau Pertama Agrobank Bagan Serai yang turut dihadiri Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata pihaknya menggalakkan lebih banyak institusi perbankan untuk mencari pendekatan teknologi hijau bagi meningkatkan pembangunan, seterusnya meminimumkan degradasi kualiti persekitaran dan memberi manfaat kepada masyarakat.
"Kementerian ini menyokong inisiatif hijau oleh Agrobank, seperti memasang struktur bumbung dan penggunaan tenaga solar yang pertama di cawangan Bagan Serai, yang dapat meminimumkan kesan terhadap alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
"Kita harapkan lebih banyak pihak, bukan sahaja institusi perbankan, tetapi semua pihak dapat menjayakan inisiatif hijau yang lebih mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial