KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN–Malaysia tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menganjurkan 16 program utama pada peringkat serantau.
KPWKM dalam kenyataan memaklumkan antara program itu ialah Forum ICT ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian 2025, Persidangan ASEAN tentang Penjagaan Warga Emas, Sidang Kemuncak WPS ASEAN kedua, The New Frontier of Care Seminars dan Program Pasangan Sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
"Program lain termasuk Memorandum Persefahaman Malaysia–Singapura, Ekspo OSAKA 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) ke-30," menurut kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak (MKBKK) Bilangan 1 Tahun 2025 di sini bagi membincangkan isu berkaitan kanak-kanak dan merangka penyelesaian bersepadu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
"Sebanyak dua kertas pemakluman dibentangkan dalam mesyuarat, iaitu Taklimat Berkaitan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Dasar Kanak-Kanak Negara oleh Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWKM.
"Turut dibentangkan ialah The Nexus of Trafficking and Disability and Addressing Trafficking in Persons among Vulnerable Groups oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat," menurut kenyataan itu.
KPWKM menjelaskan kedua-dua pembentangan ini menekankan keperluan kepada perlindungan menyeluruh terhadap kanak-kanak melalui pelaksanaan dasar yang bersifat inklusif serta pemantapan inisiatif menangani isu pemerdagangan kanak-kanak rentan termasuk mereka yang berkeperluan khas.
"Hasil perbincangan diharapkan dapat memberi input berimpak tinggi dalam membentuk persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera untuk kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
Kementerian berharap mesyuarat berkenaan menjadi platform yang bukan sahaja membincangkan isu semasa kanak-kanak, tetapi turut mencadangkan dasar serta syor yang tuntas kepada kerajaan dalam pelbagai aspek melibatkan sokongan, penjagaan, perlindungan, pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak.
"KPWKM akan terus komited bekerjasama dengan semua pihak ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan selamat untuk generasi masa hadapan negara," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial