PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Penjawat awam perlu diberikan pendedahan dalam teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap konsultan luar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tuntutan semasa memerlukan penjawat awam untuk berubah, dan potensi yang dimiliki oleh setiap daripada mereka perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negara.
Mengimbau sekitar era 80-an hingga 90-an, beliau berkata tahap kecekapan dan keputusan termasuk fiskal, ekonomi, kewangan dan projek dilaksanakan hampir keseluruhannya oleh penjawat awam dengan penyertaan konsultan yang minimum.
“Saya lihat projek-projek itu dijalankan dengan baik, maknanya jika diberikan penekanan dan latihan, penjawat awam mampu lakukan, tetapi semasa saya mengambil alih jawatan, saya lihat terlalu banyak kebergantungan kepada konsultan asing dan konsultan luar.
“Jadi, saya anjurkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) agar kita lakukan anjakan semula dan kalau ada kekurangan, kita latih penjawat awam yang muda untuk berikan mereka kepakaran, kemahiran, keterampilan agar dapat memenuhi keperluannya,” kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam mantan KSN dan apresiasi pasukan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di sini malam ini.
Anwar berkata prestasi penjawat awam perlu dipulihkan dengan diberi penugasan yang diyakini mampu memberi impak selain turut menyediakan latihan dan pendidikan baharu.
“Ia tidak semestinya formal, (seperti) PhD (Doktor Falsafah) atau Master (Sarjana), tetapi apa sahaja latihan atau pendedahan ikhtisas dan kepakaran terutama dalam teknologi baharu,” kata beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kejayaan pelaksanaan SSPA ialah hasil kerja satu pasukan dan hasil komitmen bersama untuk membawa perubahan kepada negara.
“Ia cita-cita untuk bawa perubahan dan menerima bahawa tidak mampu negara ini diangkat martabat, harakat dan darjatnya kalau kita kekalkan kaedah dan pelaksanaan lama.
“Kalau kita rasa yakin untuk bawa dan angkat keupayaan negara ini, kita harus terima kenyataan bahawa kaedah lama tidak mungkin dapat dipertahankan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji bekas KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali serta barisan penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional sejak beliau memasuki pejabat Perdana Menteri pada November 2022.
“(Mohd Zuki dan penjawat awam) berkhidmat untuk kerajaan masa itu dengan kesetiaan dan komitmen serta memberikan kerjasama sepenuhnya. Jadi, saya selesa dari jam pertama sebagai Perdana Menteri,” kata Anwar.
SSPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa pada 1 Dis 2024 mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan mendahulukan kebajikan penjawat awam.
Ia dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan KSN Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Selain Mohd Zuki, hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial