PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Penjawat awam yang terlibat dalam kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lepas diberikan kebenaran untuk tidak hadir bekerja atas sebab kecemasan am.
Perkara itu tertakluk dalam Ceraian SR.4.2.7, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) kepada penjawat awam yang terlibat.
Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 7 April, yang dikongsikan menerusi Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.
Surat pekeliling itu dihantar kepada Ketua Setiausaha semua kementerian, semua ketua jabatan peringkat Persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua badan berkanun pada peringkat Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.
“Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pengecualian terhadap syarat terhalangnya perjalanan ke pejabat atau ke tempat bekerja biasa bagi kemudahan Peraturan Memberikan Kebenaran Tidak Hadir Kerja Atas Sebab-Musabab Kecemasan Am,” katanya dalam pekeliling itu.
Menurutnya, pengecualian itu diberikan berdasarkan dua syarat, iaitu hanya pegawai yang merupakan penduduk di kawasan terjejas sahaja layak diberikan kemudahan itu, serta pegawai tidak mempunyai sebarang kemudahan yang membolehkannya untuk hadir ke pejabat atau melaksanakan tugas secara bekerja dari rumah.
Pekeliling itu turut memaklumkan pengecualian berkenaan hanya diberikan khusus bagi insiden kebocoran paip gas di Putra Heights.
“Ketua Jabatan bolehlah menentukan tempoh tidak hadir bekerja yang bersesuaian dengan mengambil kira kebajikan pegawai dan kelancaran perkhidmatan,” katanya dalam pekeliling itu.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial