AM > BERITA

Kebajikan Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights Kekal Jadi Keutamaan

08/04/2025 12:49 AM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kebajikan mangsa insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya terus menjadi keutamaan dengan pelbagai usaha dilaksanakan termasuk pemberian sumbangan tambahan dan bantuan sewa rumah.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sumbangan sebanyak RM5,000 dan RM2,500 daripada Petronas ialah tambahan kepada bantuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. 

Beliau berkata sumbangan mengikut kategori atau tahap kerosakan rumah itu menjadikan mangsa yang tergolong dalam kategori rumah musnah sepenuhnya akan menerima keseluruhan RM10,000 manakala bagi separa musnah dan penyewa masing-masing akan menerima sebanyak RM5,000. 

Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewa rumah sebanyak RM2,000 kepada mangsa terlibat selama enam bulan bergantung pada tempoh pembaikan rumah masing-masing melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.356 juta.

Susulan insiden yang berlaku pada pagi hari raya kedua itu, Amirudin berkata nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dianggarkan sebanyak RM65.4 juta dengan 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden terbabit.

Katanya, jumlah itu berdasarkan pemerhatian yang dilakukan pasukan teknikal diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta hasil pemeriksaan turut mendapati 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Datuk Johary Anuar juga dilantik untuk mengetuai Fasa Pemulihan termasuk kaedah baik pulih bagi kawasan yang terkesan, seperti rumah, jalan, infrastruktur dan kemudahan awam.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berharap agar lebih banyak syarikat korporat tampil memberikan sumbangan kepada mangsa insiden letupan paip gas itu bagi meringankan beban mangsa, walaupun pelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata setakat hari ini, sebanyak RM1.4 juta telah disalurkan kepada mangsa-mangsa terjejas termasuk bantuan kilat daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan juga bantuan awal Petronas.

Selain bantuan dari segi kewangan, mangsa juga menerima bantuan kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat yang disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS). 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang melibatkan sebanyak 253 mangsa menerima bantuan kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat yang disediakan di PPS. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming juga dilaporkan akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan formula terbaik untuk membantu mangsa.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan sebanyak 41 daripada keseluruhan 149 mangsa yang terlibat dalam tragedi ini masih menerima rawatan di hospital serta klinik, dan daripada jumlah itu, 19 mangsa dirawat di wad biasa hospital kerajaan manakala 22 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata selain elemen jenayah dan kecuaian menjadi antara fokus siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), faktor lain turut diambil kira dalam usaha mengenal pasti punca kejadian termasuk faktor pergerakan tanah di bawah permukaan lokasi kejadian yang sedang dipertimbangkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan