AM > BERITA

MITI Akan Kemuka Kajian Terperinci Impak Tarif AS - PM Anwar

06/04/2025 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindakan yang dilselaraskan.

"Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor yang dijangka terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif,” kata Anwar menerusi hantaran video yang menyentuh tentang tarif AS, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara.

“Kerajaan MADANI juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian kita – seperti yang digariskan oleh pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan lain-lain untuk membina daya tahan ekonomi dan industri Malaysia,” kata beliau. 

Beliau berkata di peringkat serantau, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara jiran yang lain. 

"Negara-negara ASEAN adalah antara negara yang dikenakan tarif tertinggi oleh AS. Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan memimpin usaha bagi mengekalkan rantaian bekalan yang terbuka dan berdaya tahan, dan memastikan suara kolektif ASEAN didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.

"Kita perlu sedar bahawa tarif kali ini mungkin permulaan kepada cabaran lebih besar dalam (landskap) ekonomi luar.  Kita semua perlu bersedia dari segi mental untuk berdepan potensi cabaran lebih getir pada masa akan datang dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menjaga kemakmuran kita yang berterusan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk menangani dan mengurangkan impak daripada tarif tersebut.

"Kita akan melakukan ini, bukan bersendirian dan bukan secara konfrontasi tetapi dengan kerjasama sahabat dan rakan-rakan, dan secara membina.

"Yakinlah, kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat kita, perniagaan dan pengeksport kita,” kata Anwar.

--BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan