SHAH ALAM, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memulakan perbincangan dengan pakar dan pihak-pihak berkepentingan pada minggu depan berikutan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan Malaysia.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perbincangan itu bagi menjaga kepentingan ekonomi negeri walaupun tarif itu tidak memberi kesan kepada industri semikonduktor yang menjadi antara sektor utama Selangor.
"Walaupun semikonduktor tidak termasuk dalam senarai 24 peratus yang dikenakan tarif baharu oleh AS tetapi ia beri kesan agak berat kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam negara.
"Minggu depan saya akan berbincang dengan pakar-pakar bagaimana untuk kita mengambil langkah susulan tangani kesan peningkatan tarif ini," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata PKS merupakan antara bidang yang akan diberi tumpuan dalam perbincangan itu bagi menjamin kepentingan pemain-pemain industri berkenaan di Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin berkata selaku Pengerusi ASEAN, beliau percaya Malaysia mempunyai tanggungjawab membincangkan perkara berkenaan bagi menjaga kepentingan negara-negara jiran yang terkesan dengan kesan tarif timbal balik yang dikenakan AS.
"Sebagai anggota ASEAN, kita juga ada solidariti dengan negara lain, dan saya percaya semasa Presiden Indonesia Prabowo Subianto bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, isu tarif timbal balik ada dibincangkan untuk kebaikan dan juga kemaslahatan bersama negara-negara ASEAN.
"Selaku Pengerusi ASEAN saya rasa kita juga bertanggungjawab mempertimbangkan isu itu untuk kawan-kawan dan juga sahabat-sahabat di negara jiran dan negara lain yang terkesan," katanya.
Semalam, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh AS memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan selain menegaskan tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas.
Malaysia adalah antara negara yang terkesan oleh tarif AS yang mana mulai 5 April, setiap produk Malaysia yang dieksport ke AS akan berdepan sekurang-kurangnya 10 peratus duti dan mulai 9 April, kebanyakan produk akan dikenakan kadar 24 peratus, dengan beberapa pengecualian.
Pada 2 Julai tahun lalu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2023 menyaksikan negeri itu menerajui sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 25.9 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial