AM > BERITA

Perkukuh Undang-undang, Keselamatan Digital Bagi Melindungi Kanak-kanak

06/04/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Undang-undang perlindungan kanak-kanak yang lebih kukuh, kawalan keselamatan digital lebih ketat dan usaha bersepadu diperlukan bagi memastikan hak serta kebajikan golongan itu terpelihara, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye. 

Lee dalam kenyataan hari ini menekankan setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat perlindungan, pendidikan dan penjagaan kesihatan serta kehidupan bebas daripada eksploitasi dan bahaya.  

Bagaimanapun, peningkatan ancaman seperti penderaan, eksploitasi dalam talian, pemerdagangan dan kekurangan akses kepada pendidikan berkualiti serta sokongan kesihatan mental terus membahayakan hak dan kebajikan golongan berkenaan. 

“Penderaan dan pengabaian kanak-kanak sama ada fizikal atau emosi terus meningkat, dengan banyak kes tidak dilaporkan kerana takut, kurang kesedaran atau mekanisme perlindungan kanak-kanak tidak mencukupi. 

“Selain itu, perkembangan pesat platform digital menjadikan mereka lebih terdedah kepada pengantunan dalam talian, buli siber dan pornografi,” katanya. 

Kebimbangan lain dibangkitkan ialah masalah pemerdagangan kanak-kanak dan buruh paksa yang semakin berleluasa disebabkan kelemahan penguatkuasaan dan penyelarasan antara agensi berkaitan. 

Sebagai penyelesaian kepada cabaran itu, Lee menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada undang-undang yang lebih tegas dan mekanisme penguatkuasaan lebih baik. 

“Undang-undang lebih tegas dan penguatkuasaan lebih baik diperlukan untuk memerangi penderaan, eksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak. Pihak berkuasa perlu memastikan tindakan pantas terhadap pesalah,” katanya. 

Lee berkata selain pihak berkuasa, ibu bapa dan golongan pendidik juga perlu bekerjasama meningkatkan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak menerusi program celik digital dan pemantauan lebih ketat terhadap kandungan dalam talian. 

Beliau juga menekankan keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai satu badan bebas bagi memantau dan menilai dasar perlindungan kanak-kanak, menyiasat pelanggaran hak dan memberi cadangan untuk penambahbaikan. 

“Menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak akan menunjukkan komitmen kuat kerajaan terhadap kebajikan kanak-kanak dan memastikan fokus advokasi berterusan terhadap hak mereka. 

“Kanak-kanak adalah masa depan negara dan kegagalan melindungi mereka bermaksud menjejaskan kesejahteraan jangka panjang masyarakat kita. Menjadi kewajipan kita semua untuk memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran selamat dan terpelihara,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan