EKONOMI > BERITA

LEBIH 200 PENGAMAL MEDIA DAFTAR LIPUTAN AFMGM KE-12 DI KLCC

07/04/2025 10:53 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Lebih 200 pengamal media tempatan dan antarabangsa mendaftar bagi membuat liputan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) serta mesyuarat berkaitan di sini yang bermula hari ini.

Penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) Zaria Mohd Nasri berkata bersempena AFMGM, operasi IMC bermula semalam bagi memudahkan petugas media membuat persiapan awal termasuk menguruskan kelengkapan masing-masing. 

Beliau berkata sebanyak 250 pengamal media dijangka terlibat bagi liputan mesyuarat kali ini.

"BERNAMA diberi tanggungjawab untuk menguruskan pendaftaran media domestik dan antarabangsa. Pasukan BERNAMA sentiasa komited dalam memastikan kelancaran liputan media semasa mesyuarat itu nanti," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Menurut Zaria, pihak media juga boleh mendapatkan berita BERNAMA mengenai ASEAN melalui microsite khas www.asean.bernama.com manakala berita bergambar menerusi platform aseanfoto.bernama.com. 

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan disertai Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, mengadakan lawatan bagi meninjau persiapan AFMGM serta melawat IMC.

Mereka disambut Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj.

Sewaktu lawatan tersebut, Amir Hamzah turut diberi taklimat mengenai operasi harian IMC oleh Arul Rajoo selain mengambil kesempatan meluangkan masa beramah mesra dengan pengamal media tempatan dan antarabangsa. 

Kira-kira 300 delegasi terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, pegawai daripada institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi membincangkan cara bagi memajukan rantau ini daripada segi kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan