POLITIK

AHLI PKR PERLU CONTOHI KERJA KERAS PM PIMPIN, BANGUNKAN NEGARA - FUZIAH

23/05/2025 12:02 AM

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mencontohi kepimpinan dan kejayaan Presidennya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup bekerja keras sehingga berjaya membawa nama Malaysia gah di persada dunia.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata Malaysia di bawah pimpinan Anwar ketika ini juga  melaksanakan tadbir urus yang baik bagi membangunkan negara.

“Presiden kita daripada reformis kini sudah menjadi negarawan, kita sekarang Pengerusi ASEAN. Beliau berjaya membawa suara Malaysia itu menjadi pendamai, suara Perdana Menteri itu jadi penyatu, beliau berani menyatakan pandangan di pentas dunia, seluruh dunia melihat kepimpinan Presiden, inilah model terbaik untuk kita.

“Malah Presiden beri pedoman dan cabaran kepada kita semua, beliau jauh lebih berumur namun lebih kuat dan sebagai anak muda, kadang-kadang kita rasa kita tak terkejar dengan beliau… begitu laju, begitu pantas, begitu banyak programnya. Presiden kerja keras, takkan kita nak kata penat, nak slow down, jadi ini seharusnya menjadi dukungan kita,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita PKR yang turut dihadiri Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Ketua Wanita PKR merangkap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua AMK yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Fuziah, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, turut mengajak semua ahli PKR terutama sayap parti itu untuk bekerja bersama-sama bagi memastikan Perdana Menteri terus menerajui tampuk pemerintahan negara bagi penggal kedua.

“Kita adalah penggeraknya, ejen-ejen untuk memastikan agenda ini berlaku dengan memastikan dasar-dasar MADANI tidak hanya bertunas tetapi membuahkan hasil untuk generasi akan datang.

“MADANI bukan sekadar slogan tetapi amat penting untuk menterjemahkannya kepada tingkah laku, proses membuat keputusan sekali gus menjadi dasar-dasar yang akan meneraju (pembangunan negara) dan ini memerlukan kemampuan kita untuk menggarap seluruh kekuatan kita di dalam parti,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Fuziah berkata ahli parti perlu menawarkan politik nilai dan khidmat kepada masyarakat bukannya politik retorik selain menekankan pentingnya untuk semua ahli kekal bersatu pascapemilihan pimpinan peringkat pusat yang berlangsung esok.

“Tumpuan kita selepas ini ialah Pilihan Raya Negeri Sabah dan Sarawak sebelum bertemu Pilihan Raya Umum. Kita berdamai, kita bersatu, kita bergerak sebagai satu pasukan, kita ketepikan perbezaan, bergerak sebagai ‘Kita Keadilan’,” katanya.

Fuziah turut mengingatkan para perwakilan supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh merugikan parti semata-mata untuk mencapai agenda peribadi.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi ini parti kita. Kita berada dalam kapal yang akan membawa kita ke arah destinasi kita.

"Kalau dalam membawa agenda peribadi, kita tebuk kapal ini, semua akan tenggelam. Jangan ambil ringan. Bukan mudah memastikan bahawa ia adalah selamat. Tapi kalau ia karam, bukan yang menebuk lubang sahaja yang karam, kita semua akan karam.

“Bawalah politik nilai, setuju tak setuju tak mengapa. Kita bukan berlawan dengan musuh. Kita bertanding sesama kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan