POLITIK

PEMILIHAN PKR: RAMANAN FOKUS BAWA SUARA RAKYAT, AKAR UMBI

22/05/2025 06:34 PM

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk Seri R. Ramanan berkata fokus utama beliau menawarkan diri bertanding Naib Presiden bagi pemilihan parti sesi 2025-2028 adalah untuk membawa suara rakyat dan akar umbi kepada arus pimpinan perdana.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata suara rakyat serta akar umbi perlu dijadikan panduan tetap dalam merangka dasar dan membuat keputusan parti.

“Kekuatan sebenar PKR bukan hanya terletak pada tokoh pimpinan, tetapi berpaksikan kepada kesetiaan akar umbi yang sentiasa mendukung parti dalam apa jua keadaan.

“PKR adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Di dalam rumah ini, perpaduan adalah tiangnya, dan kesetiaan akar umbi adalah nadinya. Tanpa akar umbi, parti hilang rohnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India berkata hanya dengan mengambil kira pandangan rakyat secara berterusan, sesebuah parti mampu dibina sebagai entiti yang benar-benar mencerminkan aspirasi dan wajah rakyat.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata untuk itu beliau bertekad untuk membawa suara Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial.

“Saya percaya dengan perpaduan, kesetiaan dan semangat akar umbi, kita akan bangkit lebih kuat dan menjadi kekuatan utama dalam kerajaan perpaduan.

"Selepas pemilihan ini, kita perlu bersatu padu di bawah satu bumbung untuk memperkasakan dan memperkukuh lagi jentera parti ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita semua satu keluarga,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh ahli dan perwakilan agar memperkukuh semangat perpaduan dan kesetiaan demi kelangsungan perjuangan PKR yang berteraskan reformasi dan keadilan.

Kongres Nasional PKR 2024/2025 akan membuka tirai 8 malam ini dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita oleh Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh di Berjaya Waterfront Hotel di sini, yang dijangka dihadiri Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim, Ketua Wanita Fadhlina Sidek serta perwakilan kedua-dua sayap.

Kedua-dua sayap parti akan memulakan kongres masing-masing esok dengan ucapan dasar Adam Adli dan Fadhlina diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua Sayap.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan berlangsung esok merangkumi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan