AM

MARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN, MALAYSIA PERLU CONTOHI NEGARA MAJU - PM ANWAR

22/05/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu memberi penekanan terhadap penguasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional.

Anwar berkata negara-negara maju seperti China, Rusia dan Jepun telah membuktikan bahawa kemajuan dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital tidak pernah mengabaikan bahasa dan sastera mereka, sebaliknya ia dijadikan sebagai asas pembinaan jati diri dan tamadun.

“China contohnya, walaupun maju dalam bidang ekonomi dan teknologi tetap menekankan pendidikan karya klasik dalam bahasa Cina seperti Mengzi di sekolah... mereka mahu anak-anak kekal dengan identiti dia, tidak terjebak dan terpukau dengan karya asing yang mempengaruhi sikap dan jiwa anak muda.

“Rusia (pula) dengan kekuatan ketenteraan, ekonomi dan disiplin dalam bidang pendidikan yang meningkat tinggi, hampir semua (orang Rusia) yang saya tanya tahu tentang kekuatan sastera, budaya Rusia... seperti karya agung Anna Akhmatova,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad Datuk Sulaiman Abdul Manap.

Perdana Menteri berkata Malaysia perlu mengambil teladan daripada negara-negara tersebut dan menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak seharusnya dilihat sebagai slogan retorik, sebaliknya mesti diterjemah melalui tindakan bersepadu melibatkan semua sektor termasuk institusi kewangan dan swasta.

“Dalam negara MADANI sementara kita berhempas pulas, bersaing untuk mendapatkan yang sebaiknya, institusi kewangan harus hebat, harus menerobos ke negara lain, itu tidak harus meninggalkan satu ciri dalam pembangunan negara yang sangat integral iaitu penguasaan bahasa yang baik dan menghargai, memartabatkan karya-karya besar ilmu.

“Adalah satu kesilapan besar bagi kita tatkala kita mengejar perubahan, pembaharuan dan pembangunan, mengandaikan bahawa aspek-aspek ini boleh diremehkan, kerana tidak ada negara hebat, negara besar yang meninggalkan ini,” katanya.

Anwar turut memuji usaha menghidupkan semula program Hadiah Bahasa yang bermula sejak 1984, namun terhenti pada 1998, sebagai satu langkah tepat dalam memperkukuh agenda bahasa di negara ini.

Beliau berkata sokongan Public Bank terhadap program itu merupakan contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh memainkan peranan besar dalam mengangkat martabat bahasa, budaya dan sastera negara.

Penganjuran Hadiah Bahasa Public Bank-DBP terbahagi kepada lima kategori yang memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada karya dalam bahasa Melayu yang berkualiti dan bermutu tinggi dihasilkan oleh pelajar dari peringkat rendah hingga ke universiti.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan