PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 sebanyak 10 peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kadar dividen berkenaan membabitkan tujuh peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan 100,000 unit pertama dengan jumlah bayaran RM16 juta bagi 15,000 pelabur.
Turut diumumkan 0.75 peratus hibah untuk Akaun Simpanan Biasa Al-Wadiah DPK dengan jumlah keseluruhan komitmen bayaran sebanyak RM100,000.
Mohamad berkata DPK bagi 2024 mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan, termasuk dari segi keuntungan, jumlah aset serta pengagihan manfaat kepada pelabur.
"Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap struktur pentadbiran dan dasar pelaburan yang diterajui oleh DPK semakin kukuh dari tahun ke tahun," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dividen SPKP DPK bagi 2024 di sini hari ini.
Mohamad berkata usaha DPK melebarkan sayap ke dalam portfolio pelaburan yang pelbagai termasuk projek pertanian moden dan perkhidmatan kewangan khusus membuktikan bahawa peladang juga mampu menjadi pemain ekonomi dalam ekosistem lebih luas.
Namun beliau berkata DPK tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian semasa dan perlu terus agresif dalam meneroka ruang pelaburan baharu untuk membolehkannya memberikan pulangan yang lebih besar buat pelabur.
"Saya berpandangan, sudah sampai masanya untuk DPK memperluas jaringan kerjasama pelaburan, mungkin dengan institusi kewangan lain, syarikat teknologi pertanian atau pelaburan hijau yang kini sedang meningkat naik," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK Haris Alimudin dalam ucapannya berkata DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.03 juta hasil prestasi pengurusan dana yang lebih cekap dan strategik.
Beliau berkata ia mencerminkan prestasi terbaik DPK setakat ini yang bukan sahaja kompetitif, malah menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan yang cekap dan beretika.
"Secara purata sejak tiga tahun kebelakangan ini, DPK mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 21 peratus setahun dan pertumbuhan aset sekitar 7.5 peratus setahun.
Haris berkata jumlah pelaburan SPKP-DPK mencecah RM264.7 juta pada akhir 2024, iaitu peningkatan sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya yang menunjukkan trend peningkatan pelaburan dalam kalangan ahli.
Pada majlis itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang turut diumumkan sebagai pemenang utama Insentif Ejen Terbaik dan Kutipan Tertinggi bagi 2020 hingga 2024, diikuti PPK Batu Pahat Tengah dan PPK Ledang Tangkak.
Mengulas mengenai dividen yang diumumkan hari ini, Pengurus Besar PPK Klang Masdura Supian berkata beliau percaya semua pelabur DPK berasa amat bersyukur dengan kadarnya yang tinggi berbanding tahun sebelum ini.
"Kadar 10 peratus ini memang kami tidak jangka sebab sudah dua tahun kita hanya dapat sekitar lapan hingga sembilan peratus. Ini berita yang sangat menggembirakan buat pelabur-pelabur kita," katanya.
Pengurus Besar PPK Batu Pahat Tengah Syahurin Sarjuni pula berkata kadar dividen berkenaan adalah amat kompetitif jika dibandingkan dengan pelaburan lain.
"Apabila kita buat perbandingan, ini adalah antara pelaburan yang memberi pulangan yang tinggi. Pelabur-pelabur di PPK berharap pelaburan DPK ini dapat memberikan pulangan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA