JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS KETUA KERANI KEWANGAN IPKKL MENGAKU SALAH GUNA DOKUMEN PALSU 

21/05/2025 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Kerani Kewangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan menggunakan dokumen palsu melibatkan resit rasmi Kerajaan Malaysia berjumlah RM63,923.20 antara September 2021 hingga Mac tahun ini. 

Mizatul Hafiza Mohamad, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus. 

Mahkamah menetapkan 20 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan membenarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan terhadap wanita itu.

Mizatul Hafiza didakwa atas 22 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit rasmi Kerajaan Malaysia atas nama 11 individu, Kuarters Balai Polis Sri Hartamas, Shabak Enterprise, Persatuan Penduduk Perumahan Polis Balai Kepong, Berek Balai Polis Jinjang, Balai Polis Travers berjumlah RM63,923.20.

Kesalahan dilakukan di Jabatan Logistik IPKKL, Jalan Hang Tuah di sini antara 8 Sept 2021 dan 10 Mac lepas mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan memohon supaya satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah bagi jatuh hukum untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Mizatul Hafiza yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia menanggung ibu bapanya dan masih bujang.

"Saya kini bekerja sebagai penolong pembantu tadbir (jabatan kerajaan) dengan pendapatan RM3,000 sebulan," katanya. 

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hamidah Mohamed Deril, Mizatul Hafiza mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit kerajaan sama berjumlah RM30,695.60 atas nama 13 individu termasuk polis dan kuarters balai polis.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 Sept 2023 dan 15 Jan lepas mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Mizatul Hafiza turut didakwa atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang RM101,635.30 yang diamanahkan kepadanya sebagai pemegang kuasa untuk dibayar kepada hasil kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat sama antara 8 Sept 2021 dan 15 Jan lepas mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun hingga maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, manakala Mizatul Hafiza merayu supaya jaminan dibenarkan atas alasan dia baru sahaja dibenarkan jaminan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen lain dan memohon jumlah jaminan sama.

Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM44,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan sama (20 Jun) untuk lantikan peguam. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan