EKONOMI

KEYFIELD INTERNATIONAL OPTIMIS CATAT KEPUTUSAN KEWANGAN LEBIH BAIK UNTUK TAHUN KEWANGAN 2025

19/05/2025 02:04 PM

 

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Penyedia kapal sokongan luar pesisir (OSV) Keyfield International Bhd, optimis tetapi berhati-hati untuk mecatatkan keputusan kewangan lebih baik tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 dalam persekitaran ketidaktentuan makroekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Datuk Darren Kee Chit Huei berkata prestasi syarikat akan terus bergantung pada saiz armada, kadar penggunaan dan kadar sewa harian, ia merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang memacu kedua-dua hasil dan keuntungan.

"Ketiga-tiga faktor ini akan menentukan pendapatan syarikat dan juga keuntungan syarikat. Untuk kita meningkatkan pendapatan, mudah-mudahan syarikat dapat mencapai KPI tersebut," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025, Keyfield International mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM20.68 juta berbanding RM30.30 juta dalam tempoh sama tahun lepas manakala hasil merosot sebanyak 18.5 peratus kepada RM86.75 juta daripada RM106.39 juta, kebanyakannya disebabkan oleh penurunan pendapatan daripada kapal.

Kumpulan itu berkata hasil daripada kapalnya turun 10.3 peratus, atau RM8.3 juta, kepada RM72.6 juta daripada RM80.9 juta tahun ke tahun, manakala hasil daripada kapal pihak ketiga susut RM11.4 juta (44.7 peratus) kepada RM14.1 juta (suku pertama 2024: RM25.5 juta).

Kee berkata walaupun tahun kewangan 2024 adalah tahun yang kukuh, tahun kewangan 2025 bermula dengan perlahan disebabkan gangguan musim tengkujuh, kebiasaannya mengakibatkan penggunaan kapal yang lebih rendah pada suku pertama.

"Kami masih mempunyai beberapa kapal yang beroperasi dalam tempoh ini. Tetapi, pada suku pertama ini, penggunaannya biasanya rendah. Bukan sahaja syarikat kami...semua syarikat kapal akan menghadapi masalah ini," katanya.

Walaupun ketidaktentuan global, termasuk perang tarif yang berterusan dan sedikit penurunan harga minyak, Kee berkata operasi perniagaan kekal tidak terjejas.

"Perniagaan masih berjalan seperti biasa bagi kami. Tiada apa-apa yang menjejaskan kapal kami pada masa ini, pendedahan Keyfield International kepada pendapatan luar negara adalah minimum.

Menjawab mengenai dok kering kapal berjadual pada suku pertama, Kee berkata syarikat itu sengaja memilih tempoh di luar waktu puncak untuk meminimumkan kesan kewangan, bagaimanapun, beliau mengakui kesesakan di Labuan Shipyard telah menyebabkan beberapa kelewatan.

Mengenai penempatan geografi, Kee berkata pada masa ini 95 peratus berada di Malaysia dan kapal syarikat itu aktif di Sabah, Sarawak, Kemaman dan kawasan pembangunan bersama antara Malaysia dan Thailand.

Syarikat itu juga mempunyai kapal yang beroperasi di India dan Timur Tengah.

Baru-baru ini, anak syarikat milik penuh Keyfield International, Keyfield Offshore Sdn Bhd juga telah memeterai memorandum persefahaman dengan PT Elnusa Trans Samudera (ETSA) untuk meneroka dan merebut peluang perkhidmatan marin terutamanya dalam minyak dan gas serta industri berkaitan di Indonesia.

Kee memberitahu syarikat itu telah memperoleh cable-laying barge untuk memulakan kerja di Arab Saudi tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan kehadiran antarabangsa.

“Kami harus cuba menyasarkan untuk meningkatkan kehadiran kami di Timur Tengah. Arab Saudi, Kuwait dan Qatar sebagai pasaran keutamaan,” katanya.

Mengenai sektor OSV tempatan, Kee berkata kapal yang semakin berusia dalam pasaran dan Petronas melaporkan kebimbangan mengenai potensi kekurangan kapal.

"Kami bernasib baik. Kami mempunyai beberapa kapal baharu yang akan terus memberikan kelebihan kepada kami, ramai pemain lain dalam sektor ini belum melabur dalam OSV baharu.

Keyfield kini memiliki 15 kapal dengan purata kadar penggunaan tahun lepas sebanyak 80.4 peratus, namun untuk tahun kewangan 2025, Kee menjangkakan penggunaan lebih rendah disebabkan oleh permulaan yang perlahan dan penjadualan dok kering.

"Kontrak kami memperoleh kontrak kira-kira RM420 juta setakat ini," katanya.

Kee juga menyentuh mengenai strategi modal syarikat. Keyfield mengumpul RM200 juta melalui terbitan sukuk pada Disember tahun lepas, sebahagian daripada program sukuk bertaraf AA3 bernilai RM1 bilion.

"Kami belum menggunakan sepenuhnya hasil bon. Pada masa ini, tidak ada keperluan segera untuk menerbitkan satu lagi pusingan bon sukuk,syarikat mengekalkan lembaran imbangan kukuh dengan aliran tunai dalaman yang stabil.

Kee berkata Keyfield International menyasarkan untuk membayar 20 peratus daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen seperti dinyatakan dalam prospektusnya.

"Tetapi tahun lepas, pembayaran keseluruhan kami adalah sekitar 39 peratus," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024, kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak tiga sen sesaham, menjadikan jumlah pembayaran dividennya untuk tahun kewangan 2024 kepada 11 sen sesaham.

Ia mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 38.9 peratus, hampir dua kali ganda sasaran awal syarikat iaitu nisbah pembayaran 20 peratus.

Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mengekalkan hasil dividen yang kukuh, pada masa ini menghampiri 6.0 peratus, ia dilihat sebagai saham pertumbuhan.

Keyfield International secara beransur-ansur mempelbagaikan kepada segmen bukan minyak dan gas dengan matlamat untuk aktiviti sedemikian menyumbang sekitar 20 peratus daripada jumlah hasil dalam jangka sederhana.

Tongkang pemasangan kabel yang baharu diperoleh di Arab Saudi menandakan langkah ke arah itu.

"Kami berharap dapat mempelbagaikan asas pendapatan kami supaya sekurang-kurangnya 20 peratus daripada asas pendapatan kami diperoleh daripada sektor bukan minyak dan gas," katanya.

Kee mengulangi pendirian bahawa syarikat itu optimis dan berhati-hati di pasaran OSV, permintaan untuk kapal penginapan kekal stabil disebabkan peranan kritikal mereka dalam penyelenggaraan luar pesisir.

"Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dijalankan setiap tahun walaupun harga minyak turun. Kami masih yakin dan optimis bahawa permintaan akan terus ada," katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan